GEORGE TOWN : Seorang bekas pengawal keselamatan yang menyebabkan kematian seorang tukang masak, Chua Kok Seong, 42, kira-kira empat tahun lalu, dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Tertuduh, Ong Lai Seng, 69, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Quay Chew Woon.
Terdahulu, Chew Woon berkata, keputusan itu diputuskan selepas mendengar hujahan, mitigasi dan kepentingan awam berkaitan kes berkenaan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara daripada tarikh (tertuduh) ditangkap iaitu pada 5 Disember 2020. (Bagaimanapun) memandangkan tertuduh dilahirkan pada 13 Ogos 1955 dan berusia 69 tahun, dia dikecualikan daripada hukuman sebatan,” katanya di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Sebelum ini iaitu pada 11 Disember 2020, Lai Seng yang ketika itu berusia 65 tahun telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan yang sama.
Mengikut pertuduhan asal, dia didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Kok Seong, 42, di pondok pengawal, Blok 8, Desa May, Persiaran Paya Terubong di sini, pukul 8.50 malam 5 Disember 2020.
Bagaimanapun, pada masa itu, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh kemudiannya memilih untuk mengaku bersalah hari ini atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Mengikut kertas pertuduhan pilihan itu pula, Lai Seng didakwa telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Chua Kok Seng dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Lee Jung Keong dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili peguam, Helmi Hassan.
Ketika sesi prosiding, Helmi memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman yang ringan kepada tertuduh memandangkan dia telah mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa serta kos mahkamah.
“Tertuduh telah insaf, menyesal dan memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa. Justeru, kami memohon agar mahkamah mengurangkan tempoh penjara bagi membolehkan tertuduh menghadapi hari mendatang,” katanya.-UTUSAN










