Pulau Pinang: Semakan kehakiman projek PSI ditolak

Pulau Pinang: Semakan kehakiman projek PSI ditolak

ZAKARIA Ismail (tengah) bersama S. Mageshwari (kanan) ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh tujuh nelayan, bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (Jedi) untuk mencabar kebenaran merancang yang diberikan Pengarah Perancangan Bandar dan Desa negeri Ogos tahun lalu bagi projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Dengan keputusan terbaharu ini, projek PSI tersebut boleh diteruskan seperti yang dirancang.

Terdahulu, ketika prosiding, Hakim Datuk Quay Chew Woon berkata, tidak wujud sebarang unsur ketidakpatuhan, ketidakwajaran atau tidak rasional dalam kelulusan projek tersebut oleh kerajaan negeri. Selain itu, Chew Woon berkata, semakan kehakiman itu ditolak kerana ia dikemukakan terlewat daripada yang sepatutnya.

“Ia sepatutnya difailkan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal pada 1 Disember 2023 dan bukannya pada 29 Disember,” katanya.

Sebelum ini, pemohon yang terdiri daripada tujuh nelayan dan dua buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang iaitu SAM dan Jedi telah bersama-sama memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap empat pihak untuk mencabar pemberian Kebenaran Merancang oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk projek PSI.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 29 Disember 2023 terhadap Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC), kerajaan negeri dan SRS Consortium Sdn Bhd (SRS).

Pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah memberi kebenaran kepada pemohon untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman ini.

Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang

Pemohon telah membawa cabaran ini atas alasan bahawa responden gagal mematuhi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (TCPA 1976) pada pelbagai peringkat proses perancangan.

Dalam pada itu, wakil nelayan, Zakaria Ismail berkata, keputusan itu amat menyedihkan para nelayan dan ia seolah-olah menjadikan pekerjaan nelayan telah pupus di Pulau Pinang.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat SAM, S. Mageswari pula berkata, pihaknya akan berbincang dengan lebih lanjut sama ada mereka akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan semakan kehakiman hari ini.

”Kami akan berbincang dan akan umumkan selepas ini sama ada akan kemukakan rayuan,” katanya.

Peguam Theiva Lingam, Jessica Ram Binwani dan A Lalith Kumar mewakili para nelayan dan NGO tersebut, manakala Peguam Persekutuan, Nordiyanasari Omar, Charanjit Singh, Yeoh Cho Keong dan Chai Chin Wuen mewakili responden.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×