JOHOR BAHRU: Tempoh reman terhadap suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, disambung enam hari lagi.
Perintah sambungan reman itu dikeluarkan Majistret, Noorfazlin Hamdan.
Tempoh sambungan reman bermula esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, lelaki berusia 31 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.45 pagi lengkap berpakaian lokap dan tangan bergari.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan meneruskan siasatan terhadap suspek bagi menyelesaikan kes berkenaan.
Lelaki berkenaan merupakan suspek kelima yang ditahan berkaitan kes penculikan Albertine Leo di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini pada 20 Julai lalu.
Suspek ditahan pada pukul 4.45 pagi 23 Julai lalu di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor.
Sebelum ini suspek ditahan reman selama tujuh hari yang tamat hari ini, manakala empat suspek lain berusia 28 hingga 55 tahun telah dibebaskan dengan jamin polis, baru-baru ini. – UTUSAN










