Feri tidak boleh diguna mungkin dilupus - Kon Yeow

Feri tidak boleh diguna mungkin dilupus – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika hadir pada majlis penutupan Karnival UDA 2024@Penang di Perai, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Feri ikonik Pulau Pinang yang tidak lagi boleh digunakan berkemungkinan besar akan dilupuskan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan struktur feri yang tersadai kian usang dan mereput sekali gus itu dikhuatiri akan menimbulkan kesulitan pada masa akan datang.

“Kalau tak ada orang minat ambil alih, mungkin ia tak boleh simpan di sana untuk selama-lamanya.

“Saya dimaklumkan juga bahagian bawah feri pun sudah reput dan mungkin ia akan hanya menjadi kenangan sahaja suatu hari nanti,”katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Karnival UDA 2024@Penang yang diadakan di Tapak Parkir Gravitas, di Perai di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah membuka tender Permintaan Untuk Cadangan (RFP) untuk mengubah suai kegunaan feri ikonik itu. Namun, sekiranya tidak ada yang berminat, ia mungkin akan hilang dan diubah ke tempat lain.

Tambahnya, setakat ini hanya dua buah feri ikonik mungkin masih boleh diselamatkan lagi memandangkan salah satu daripadanya kini berada dengan syarikat pemaju Ideal Property manakala sebuah lagi akan dijadikan muzium feri yang berpangkalan di Tanjung Marina.

“Untuk kegunaan pengangkutan awam bukan senang untuk kita kembalikan tetapi untuk kegunaan lain, ia masih boleh dipertimbangkan.

“Lagipun terminal feri ini juga telah diubah suai dan hanya boleh digunakan dengan perkhidmatan feri baharu yang sedang beroperasi sahaja,”katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan SPPP akan melupus semua feri ikonik, selain tidak meneruskan rancangan menjadikannya Feri Pulau Kapas sebagai restoran terapung atas faktor kos.

Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, ia susulan sebuah Feri Pulau Kapas yang ditambat di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), karam empat hari lalu akibat kebocoran dan tidak lagi dapat dibuat pembaikan.

Sehubungan itu katanya, SPPP telah memajak feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat berkelayakan untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021.

Namun begitu, hasrat untuk menjadikan Feri Pulau Kapas ini sebagai sebuah restoran terapung gagal direalisasikan susulan terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan dan pajakan telah ditamatkan pada Februari 2023, katanya dalam kenyataan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×