JELI: Seorang ibu yang sebelum ini buntu mencari wang sebanyak RM1,250 mengalirkan air mata selepas berjaya merealisasikan impian anaknya melanjutkan pengajian ke Politeknik Jeli, di sini.
Tuan Zaiton Tuan Lembut, 52, berkata, semasa anaknya, Mohamad Alif Haikal Wan Abdul Rahman,18, mendapat tawaran berkenaan, dia dan suami Wan Abdul Rahman Wan Ariffin, 52, tidak mempunyai wang sebanyak itu.
Katanya, ketika itu dia hanya mampu menangis mengenangkan nasib Mohamad Alif Haikal yang beria-ria mahu menyambung pengajian ke peringkat diploma.
“Saya beritahu dia, ayah dan ibu tidak mempunyai wang untuk bayar yuran. Wang yang ada hanya cukup untuk belanja harian. Saya cadangkan dia menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada hari pendaftaran di Politeknik Jeli semalam.
Tuan Zaiton yang tinggal di Kampung Padang Pak Omar, Selising, Pasir Puteh berkata, buntu memikirkan perkara itu, dia bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Perksekutuan (JPKKP), Kamarudin Che Hat untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, dengan bantuan Pengerusi JPKKP, masalah yang dihadapinya itu berjaya diselesaikan.
“Pada masa sama, ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kuala Krai tampil menghulurkan sumbangan untuk anak sulung saya ini.
“Syukur, Mohamad Alif Haikal turut menerima sumbangan mesin pencetak dan wang tunai yang dikumpul oleh Yayasan Yayasan Raja Shamri hasil sumbangan orang ramai. Selain itu, anak saya menerima komputer riba sumbangan ahli perniagaan, Teacher Fiera,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Alif Haikal meluahkan rasa syukur apabila impian melanjutkan pengajian ke Politeknik Jeli menjadi realiti.
“Semasa ibu beritahu tiada wang, saya reda. Bagaimanapun saya tidak menduga, percaturan Allah hebat.
“Alhamdulillah, wang untuk saya masuk ke politeknik mencukupi,” ujarnya yang menyambung pengajian dalam bidang Diploma Teknologi Akuakultur. – UTUSAN










