SEREMBAN: Hasil Op Tiris yang dijalankan di Negeri Sembilan sepanjang tempoh enam bulan pada tahun ini menyaksikan sebanyak 790,409.79 liter diesel telah dirampas membabitkan nilai rampasan sebanyak RM1.67 juta.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, nilai berkenaan adalah sehingga 10 Jun lalu dan tidak termasuk nilai barangan sitaan lain.
“Secara keseluruhannya, nilai rampasan yang direkodkan dalam tempoh sama melibatkan barangan disita termasuk lori, hos dan lain-lain adalah berjumlah lebih RM23 juta,” katanya ketika ditemui pemberita di Jualan Rahmah Madani sempena Negeri Sembilan Festival (NS Fest) 2024 di Dataran Nilai di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pada NS Fest 2024 ini, pihaknya membawakan inisiatif dibekalkan KPDN iaitu inisiatif dibawah payung Jualan Rahmah Madani.
“Jadi tumpuan kami semestinya pengurangan barangan keperluan asas kering, barangan penjagaan diri, barangan bayi yang ditawar harga 30 peratus lebih murah dari harga pasaran daripada 10 jenis unit simpanan stok (SKU) barangan sepanjang lapan hari berlangsungnya NS Fest 2024 ini.
“Ini bagi memenuhi permintaan keperluan ramai khususnya minyak masak peket, minyak masak botol, beras import dan tepung. Selain itu ada barangan penjagaan bayi seperti lampin pakai buang dan susu tepung,” katanya lagi.-UTUSAN.











