Ada hikmah tidak dapat belajar filem di London – Nasir Jani - Utusan Malaysia

Ada hikmah tidak dapat belajar filem di London – Nasir Jani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“USIA awak sebaya anak saya. Jangan panggil saya abang, panggil sahaja Pak Nasir,” seloroh pelakon, pengarah dan penulis, Nasir Jani.

Agak lama saya menyimpan hasrat untuk menemu bual figura ini. Hanya baru-baru ini sahaja keinginan itu tercapai.

Tidak berpeluang bertemu empat mata, dalam telefon pun jadilah. Lagi pula, otai berusia 70 tahun ini menetap di Melaka. Jarang-jarang turun ke ibu kota.

Saya dimaklumkan oleh Nasir, beliau baru selesai menjalani penggambaran filem terbarunya Takluk: Lahad Datu yang bakal ditayangkan 22 Ogos ini.

Ikut perkiraan, filem ini adalah cubaan kelima Nasir sebagai pelakon, selepas filem Rock pada tahun 2005, Apa Kata Hati (2008), Songlap (2011) dan Doh (2023).

Cuma kali ini, Nasir membawa watak Raja Imran yang diinspirasikan daripada karakter sebenar, Raja Musa yang juga adik kepada, Raja Kiram yang mengepalai tragedi pencerobohan bersenjata pada 2013.

“Dua tahun lalu, saya berjumpa dengan pengarah, Zulkarnain Azhar sempena Pesta Buku Selangor sekitar bulan Disember. Kami berborak panjang, sempat saya bertanyakan beliau tentang perkembangannya.

“Ketika itu dia maklumkan kepada saya mengenai skrip filem berkenaan insiden berdarah Lahad Datu yang pada waktu itu sedang disiapkannya.

“Saya sekadar bergurau ketika meminta beliau watak cameo dalam filem itu. Tak sangka pula selepas beberapa lama, Zulkarnain menghubungi saya untuk minta saya hadiri sesi casting bagi watak Raja Imran,” kongsinya.

SUATU PENGALAMAN

PENGGAMBARAN filem yang turut dibintangi pelakon, Eman Manan itu dilaksanakan selama hampir dua bulan di Semporna, Sabah, dengan 20 hari membabitkan Nasir.

Katanya, penggambaran Takluk: Lahad Datu menghadirkan pengalaman berbeza kepadanya yang bergelar anak wayang lebih empat dekad yang lalu.

“Pengalaman kali ini berbeza. Disebabkan berada di zon keselamatan, pergerakan kami dikawal ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tidak dibenarkan ke sana sini sesuka hati, perlu laporkan kepada pegawai yang mengawasi.

“Menariknya juga adalah penggambaran filem ini turut dibuat di sebuah rumah yang terbabit dengan tragedi pencerobohan tersebut,” ujarnya.

Nasir Jani dilahirkan pada 10 Februari 1954, di Kampung Kelemak, Alor Gajah, Melaka.

Mendapat pendidikan awal di Alor Gajah English School, beliau ketika membesar diletakkan
di bawah jagaan datuk dan neneknya disebabkan kedua orang tuanya menetap dan bekerja di Singapura.

“Setiap kali tiba musim cuti sekolah, saya akan pergi ke Singapura untuk berjumpa ibu bapa saya.

“Dan setiap kali ke sana jugalah saya berpeluang untuk menonton wayang di panggung. Filem pertama yang saya tonton adalah filem ketiga James Bond, Dr. No lakonan Sean Connery.

“Besar impak filem itu kepada saya, sampaikan bila cikgu di sekolah bertanya pasal cita-cita, saya katakan mahu jadi agen perisik,” ceritanya.

Selepas menghabiskan kebanyakan usia remajanya di Melaka, Nasir kemudiannya berpindah ke Selangor pada 1974 untuk melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi MARA (ITM).

dalam jurusan komunikasi. “Antara subjek yang saya ambil pada ketika itu adalah filem dan pengiklanan dan antara kenalan baik saya di ITM ialah pengarah, arwah Mansor Puteh.

“Saya dan Mansor pernah bersama-sama menghasilkan sebuah filem pendek mengenai Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

“Selepas tamat pembelajaran, Mansor terbang ke New York, Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran sementara saya pula terpaksa melupakan tawaran untuk menyambung pengajian ke London Film School kerana kegagalan untuk mendapatkan biasiswa dan pinjaman,” kongsinya.

Meskipun tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara, Nasir tidak berputus asa. Malah, pengarah filem Kembara Seniman Jalanan ini tetap berusaha mencari peluang untuk masuk ke dalam bidang perfileman.

“Tidak berpeluang ke United Kingdom, saya bekerja di sebuah agensi pengiklanan. Saya pada ketika itu menetap di sebuah flat sekitar Jalan Gurney, Datuk Keramat, berhadapan sebuah rumah banglo yang merupakan pejabat syarikat produksi kepunyaan Hafsham Othman.

“Bila sudah tinggal berdekatan, selalu jugalah saya menyaksikan penggambaran filem dilakukan. Saya juga pada ketika itu sudah kenal baik dengan Hafsham kerana pernah melakukan latihan industri di syarikatnya sebelum itu.

“Hafsham ialah individu terawal yang membantu saya masuk ke dalam bidang pengarahan. Katanya dulu, di Malaysia, tiada sekolah filem. Jadi, dia ajak saya bekerja dengan syarikat produksinya, Pro Film sebagai kru. Saya ambil cabaran itu, dan disebabkan keputusan itu juga saya belajar banyak perkara tentang pembikinan filem. Saya percaya ada hikmahnya kenapa saya tidak pergi ke London. Saya ikut sahaja jalan yang sudah ditentukan untuk saya,” kongsinya.

 

LANTANG BERSUARA

NASIR ialah salah seorang anak seni yang berani menggunakan suaranya untuk mengkritik dan menyuarakan pandangannya mengenai hal ehwal industri seni.

Bercakap mengenai perkara itu, beliau membawa saya kembali ke tahun 1991, ketika beliau secara vokal mengkritik pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Waktu itu kami pengarah- pengarah filem baru tubuhkan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan dalam mesyuarat agung yang pertama, isu sebuah syarikat baharu mendapat ratusan slot tayangan di sebuah stesen televisyen (TV), dibangkitkan.

“Isu tersebut dipaparkan dalam akhbar Utusan Malaysia, namun pada masa sama, pihak stesen berkenaan bangkitkan pula isu artis berambut panjang yang tidak dibenarkan keluar TV.

“Saya lantang membantah isu tersebut, pada saya secara peribadi, isu itu diada- adakan untuk menutup isu ketidaktelusan yang berlaku dalam stesen TV berkenaan,” jelasnya.

Nasir juga secara agresif menggunakan medium filem sebagai platform untuk membakitkan sebarang isu yang membelenggu dunia seni tanah air serta masyarakat.

Antaranya, isu cetak rompak dan kesannya terhadap ekonomi orang Melayu yang dikupas Nasir menerusi filem Kembara Seniman Jalanan.

“Subteks filem itu adalah tentang bagaimana aktiviti cetak rompak ‘menghisap’ ekonomi dan kekayaan orang Melayu menerusi industri seni dan hiburan.

“Ketika kami naikkan isu ini dahulu, kerajaan macam tidak ambil berat. Dan berbaki dua tahun lagi, usia filem Kembara Seniman Jalanan akan memasuki empat dekad. Tapi isu cetak rompak belum temui noktahnya.

“Sekarang, apabila kita masuk ke dunia siber, usaha membanteras cetak rompak bertambah mencabar. Kita di Malaysia terlalu bagi ruang, si perompak hidup kaya raya melalui hasil cetak rompak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×