SIK: Paras air di Tasik Gubir yang menjadi sumber air bagi Empangan Muda, di sini mengalami penyusutan ketara ekoran cuaca panas dan musim kemarau ketika ini.
Ketiadaan hujan sejak lebih sebulan lalu menyebabkan dasar tasik yang sepatutnya digenangi air semakin menampakkan batuan selain jarak asal tebing yang semakin meluas.
Tinjauan turut mendapati, bot-bot milik nelayan darat di Tasik Gubir juga semakin menginjak ke tengah berbanding kedudukan asal bot itu ditambat.
Menurut seorang nelayan, Mohd. Yusof Syafaie, 67, penyusutan paras air di tasik itu menjadi fenomena biasa setiap tahun namun kali ini digambarkan lebih teruk berbanding sebelum ini.
“Pada tahun ini paras tasik semakin menyusut sehingga menyebabkan kawasan di tengah tasik menjadi cetek dan menjadikan tebing semakin jauh dari jeti nelayan menambat bot.
“Biasanya air tasik akan menyusut pada musim kemarau antara Januari hingga April setiap tahun, namun paras air akan kembali meningkat selepas itu apabila cuaca hujan tapi tahun ini cuaca panas terlalu panjang,” katanya ketika ditemui.
Semalam, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memaklumkan paras takungan air di tiga empangan kendalian mereka berada pada tahap 47 peratus.
Katanya, paras air di Empangan Muda semakin susut apabila mencatatkan takungan air sebanyak 9.96 peratus, manakala Empangan Pedu (43.1 peratus) dan Empangan Ahning (83.07 peratus).
Bagaimanapun, MADA menegaskan takungan di ketiga-tiga empangan itu sehingga kini masih dikategorikan sebagai normal dan tinggi jika dibandingkan dengan rekod terendah.
Sementara itu, Mohd. Yusof berkata, penyusutan paras air Tasik Gubir sebaliknya membawa rezeki berganda kepada nelayan yang sentiasa memperolehi hasil tangkapan.
“Ikan darat seperti tilapia dan baung mudah terkena pukat kerana air tidak tinggi berbanding apabila air tinggi kami perlu bergerak jauh untuk menahan pukat dan menunggu sehingga lewat petang jika mahu mendapat hasil yang banyak.
“Hasil tangkapan kini membantu kami memperoleh pendapatan rata-ratanya antara RM80 sehingga RM100 sehari,” ujarnya. – UTUSAN










