Klon Jabatan Imigresen, Datuk kaut untung RM600 juta - Utusan Malaysia

Klon Jabatan Imigresen, Datuk kaut untung RM600 juta

ALAT pengimbas dan mesin cetak yang dirampas daripada sindiket memalsukan kad PLKS dalam operasi besar-besaran SPRM sekitar Kuala Lumpur, semalam. – GAMBAR IHSAN SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vendor yang dilantik oleh Jabatan Imigresen telah bertindak sebagai klon jabatan itu apabila men­­curi dan memanipulasi data di da­lam sistem mereka untuk mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Kegiatan yang di­ketuai seorang lelaki bergelar Datuk itu mampu mengaut keuntungan di­ang­­garkan RM500 juta hingga RM600 juta sejak tahun lalu.

Sum­ber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Utusan Malaysia, dianggarkan ratusan ribu kad PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket klon itu dengan bayaran antara RM6,000 sehingga RM8,000 bagi setiap kad.

Jelas sumber itu, sindiket berkenaan ibarat ‘kaun­ter pintu belakang’ dengan me­nya­­sarkan syarikat atau warga asing yang mahu mendapatkan PLKS palsu pada bayaran tertentu.

Katanya, sindiket terbabit mengambil ke­sem­patan daripada tanggungjawab me­­nguruskan pangkalan data milik Jabatan Imigresen untuk menggodam sistem bagi membolehkan me­reka men­cetak PLKS palsu bagi dijual kepada warga asing.

“Sindiket ini juga berupaya membuka dan menutup semula status ‘senarai hitam’ atau red alert mana-mana warga asing yang terlibat dalam apa-apa kesalahan imigre­sen atau jenayah untuk membolehkan mereka melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan ‘orang dalam’ dengan memasang ‘pemancar’ di bilik komputer Jabatan Imigresen bagi memudahkan mereka menggodam dengan menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat jabatan berkenaan.

“Setelah mereka berjaya memasuki sistem tersebut, sindiket ini kemudiannya akan memasukkan nama-nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapatkan PLKS secara sah yang dikeluarkan Jabatan Imigresen,” katanya di sini semalam.

Kata sumber, bagi melancarkan kegiatan itu, sindiket dipercayai beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail.

“Mereka juga sentiasa berge­rak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel-hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.

Terdahulu, lima individu termasuk seorang Datuk ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi semalam.

Kesemua mereka berusia antara 33 tahun hingga 43 tahun telah ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen sejak setahun yang lalu.

Malah, isu tersebut pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

“Siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk ‘orang dalam’ dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“SPRM memuji ketegasan Ketua Pengarah Jabatan Imi­gresen kerana sanggup men­dedahkan kepincangan yang berlaku dan memberikan ker­jasama penuh risikan dalam kes ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×