Guru besar kumpul 2,000 lencana sekolah seluruh Malaysia

Guru besar kumpul 2,000 lencana sekolah seluruh Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASA terluang guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Marian Convent, Ipoh ini diisi dengan berkunjung ke kedai buku sekolah.

Rutin itu masih diteruskan Hindon Wahid, 58, hingga kini termasuk selepas selesai menghadiri mesyuarat atau kursus di institusi pendidikan di seluruh Malaysia.

Walaupun ia bukan sebahagian daripada tugasan hakiki, namun, beliau sedaya-upaya akan menyinggah demi mendapatkan barangan kesayangan yang hanya dijual di kedai buku sekolah.

Barangan itu adalah lencana jenis kain yang dikumpul sejak hampir sedekad lalu bermula 2016.

Kini, pendidik yang berkhidmat selama 36 tahun itu sudah memiliki lebih 2,000 lencana sekolah di seluruh Malaysia.

Ia meliputi sekolah rendah dan menengah di samping Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta Tamil (SJKT).

Antara lencana paling banyak dikumpul ialah melibatkan sekolah-sekolah di Perlis, Perak dan Selangor.

“Iham mengumpul barangan itu tercetus kerana mahu dijadikan sebagai kenangan-kenangan apabila bersara kelak.

“Sekolah sentiasa dekat di hati saya dan menerusi koleksi ini, segala memori serta nostalgia sepanjang 36 tahun menjadi pendidik, kekal terpahat dalam ingatan.

“Semasa awal-awal dulu, saya turun padang ke setiap kedai buku di daerah Kinta Utara yang memiliki 63 buah sekolah rendah, tidak termasuk menengah.

“Jika ibu bapa berpusu-pusu membeli buku menjelang sesi persekolahan baharu, saya pula ke sana demi mendapatkan lencana,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Antara lencana terawal dikumpul adalah melibatkan 15 sekolah tempatnya bertugas iaitu di Pahang, Kedah, Perak dan Sarawak.


SUKA MOTTO
Tahukah anda sekolah-sekolah di negara ini mempunyai persamaan daripada segi motto?

Kebanyakannya menggunakan perkataan-perkataan lazim seperti berilmu, beramal dan berbakti.

Namun, ibu tiga anak berusia antara 24 hingga 34 tahun ini tertarik dengan cogan kata SK Mata Air di Perlis iaitu Tabah Berusaha.

Walaupun ringkas dan tidak stereotaip dengan institusi lain, tetapi maksudnya cukup jelas, mendalam dan relevan.

“Kejayaan tidak datang bergolek tanpa sifat sabar dan tabah di samping gigih berusaha.

“Bagi saya, motto ini sesuai dijadikan pegangan murid dalam menempuhi kehidupan mereka termasuk sehingga ke menara gading, memasuki alam kerjaya dan berkahwin,” katanya.

Ujarnya tarikan lain adalah penggunaan warna-warna terang yang menambahkan lagi keunikan setiap lencana.

Pemerhatian mendapati rona lencana turut dipengaruhi oleh warna bendera sesebuah negeri misalnya Selangor yang cenderung menggunakan merah dan kuning.

 

SIAP SEDIA FAIL SIMPANAN
Bagi memudahkan proses simpanan, kesemua koleksi lencana itu dimasukkan dalam fail.

Istimewanya, fail itu dihasilkan sendiri oleh Hindon menggunakan fail terpakai dengan bahagian dalam pula menggunakan plastik pemegang kad.

Secara keseluruhannya, beliau memiliki 15 fail koleksi lencana sekolah yang dikategorikan mengikut negeri.

“Walaupun bilangan lencana berjumlah 2,000 keping tetapi saya sudah sediakan fail bagi semua 10,000 sekolah di seluruh Malaysia.

“Setiap ruangan tertera kod nama sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memudahkan untuk disimpan terus di ruangan yang sepatutnya,” katanya.

Bagaimanapun, Hindon mengakui berdepan cabaran untuk memenuhkan koleksinya terutama yang melibatkan sekolah kurang murid (SKM) di samping di Sabah dan Sarawak.

“Kebanyakan SKM tidak lagi mengeluarkan lencana berikutan faktor kos,” katanya.

BERTUKAR DENGAN PENGUMPUL

Sokongan ahli keluarga dan teman-teman rapat, banyak membantu Hindon menambah bilangan lencana dimiliki.

Beliau juga rajin bertukar-tukar koleksi dengan ahli Komuniti Koleksi Lencana Sekolah (KKLS).

“Komuniti kami tidak ramai dan koleksi saya masih sedikit berbanding jumlah dimiliki otai-otai lain.

“Seorang daripadanya ketika saya jumpa pada 2019 sudah ada lebih 2,000 lencana besi dan tentunya jumlah itu makin bertambah kini,” katanya.

Pendekatan lain diambil adalah dengan mengirim lencana melalui kenalan atau individu yang baru ditemui.

“Sampul berserta setem dan duit sentiasa dibawa bersama di dalam beg tangan untuk memudahkan saya mengirim lencana pada mereka.

“Sudah lebih 20 kali amalan ini dibuat tetapi ada kalanya saya tidak mendapat apa-apa maklum balas kerana individu itu terlupa untuk membeli dan mengepos,” katanya.

 

SUNTIK INSPIRASI
Generasi muda kini cenderung kepada gajet dengan sebahagian besar masa dihabiskan bermain permainan video dan melayari media sosial.

Disebabkan sikap itu, kebanyakan mereka mungkin tidak berminat untuk memiliki hobi.

Hindon terpanggil untuk mengubah persepsi golongan sasar sekali gus mendekatkan mereka untuk mula mengumpul koleksi masing-masing.

“Tahun lalu, koleksi lencana saya dipamerkan dalam karnival di sekolah bagi memberi pendedahan dan membuka minda murid mengenai hobi.

“Pendekatan itu berjaya menarik minat murid dan ibu bapa tentang barangan apa yang boleh dikumpul, malah mereka terkejut yang guru besar merupakan pengumpul lencana,” katanya.

Tegasnya, bagi yang mahu berjinak-jinak dengan hobi, pilihlah yang mengikut kemampuan.

Bagi lencana misalnya, boleh dibeli pada harga serendah RM0.50 manakala paling mahal pula RM5.

“Hobi ini antara yang paling mudah kerana tidak memerlukan kos besar. Jumlah keseluruhan perbelanjaan saya sepanjang lapan tahun ini hanyalah kira-kira RM1,000,” katanya.

 

LENGKAPKAN KOLEKSI
Hindon berazam melengkapkan koleksinya selepas bersara daripada dunia pendidikan.

Walaupun perjalanannya masih jauh, tetapi beliau yakin dapat memiliki baki 8,000 lencana lagi.

“Selepas bersara nanti memang saya mahu teruskan mencari sendiri ke sekolah-sekolah yang mudah dimasuki.

“Saya menyasarkan mengumpul 1,000 keping dalam setahun,” katanya.

Bagi yang mahu menyumbangkan atau berkongsi koleksi boleh mengirimkannya ke alamat SK Marian Convent, Jalan Raja Dihilir, 30350 Ipoh, Perak atau email ke [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×