SAUDARA PENGARANG,
BULI di asrama sekolah merupakan satu isu yang kian meruncing dan sukar dibanteras. Fenomena ini sebenarnya ‘berputik’ di rumah sebelum berkembang menjadi masalah yang lebih besar di sekolah.
Ini kerana anak-anak memperhati dan meniru tindakan serta sikap ahli keluarga terutama ibu bapa dan saudara-mara. Jika melihat atau mengalami keganasan, paksaan atau ketidakadilan di rumah, mereka mungkin menganggap tindakan ini adalah normal dan boleh diterima.
Budaya buli ini perlu dikekang untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi semua pelajar. Pihak sekolah dan warden sering kali berdepan dengan kesukaran untuk membanteras buli kerana ia sering berlaku secara tersembunyi dan sukar dikesan.
Justeru, sokongan ibu bapa dan agensi lain amat diperlukan untuk menangani isu ini dengan berkesan. Ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam mendidik anak-anak mengenai kesan negatif buli dan mengajar mereka nilai-nilai murni seperti empati, hormat-menghormati dan tolong-menolong.
Salah satu cara untuk mengatasi masalah buli di asrama adalah dengan menjalankan kempen kesedaran yang melibatkan semua pihak termasuk pelajar, guru, warden dan ibu bapa.
Selain itu, pihak sekolah boleh menubuhkan unit khas atau pasukan pemantau untuk memantau dan melaporkan sebarang kejadian buli yang berlaku di asrama.
Peraturan dan tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pelajar yang terlibat dalam aktiviti buli.
Pihak sekolah harus mempunyai prosedur yang jelas untuk melaporkan dan menangani kes buli. Pelajar yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan disiplin yang setimpal sebagai pengajaran kepada mereka dan pelajar lain.
Di samping itu, kaunseling dan sokongan psikologi perlu diberikan kepada mangsa buli untuk membantu mereka pulih daripada trauma dan membina semula keyakinan diri mereka.
Penglibatan agensi luar seperti Jabatan Pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga amat penting dalam usaha membanteras buli di asrama sekolah. Agensi-agensi ini boleh memberi sokongan dalam bentuk latihan kepada guru dan warden serta menyediakan program intervensi untuk pelajar yang terlibat dalam buli.
Kerjasama antara sekolah, ibu bapa serta agensi-agensi ini dapat membantu mewujudkan satu ekosistem yang menyokong usaha pencegahan buli.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam










