Isu tajaan syarikat minuman keras, bukan untuk sumbangan sekolah - Ahmad Zahid

Isu tajaan syarikat minuman keras, bukan untuk sumbangan sekolah – Ahmad Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media sempena Permukiman Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Syarikat Milikan Agensi KKDW di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Kota Tinggi disini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Isu tajaan syarikat minuman keras kepada sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor baru-baru ini adalah bagi tujuan penganjuran konsert amal dan bukannya untuk sumbangan kepada sekolah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Sekolah.

“Apa yang telah kita bincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari Rabu yang lalu bukan soal sumbangan daripada syarikat-syarikat minuman keras itu atau syarikat rokok atau syarikat-syarikat sejenama dengannya.

“Apa yang dilakukan adalah (sponsorship) penajaan kepada event yang diadakan itu dibuat oleh syarikat itu dan ia dianjurkan oleh persatuan ibu bapa dan pihak lembaga sekolah itu dan dalam perkara ini ia  tidak pun menyebut tentang sumbangan daripada syarikat minuman keras itu kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Pusat Konvensyen Desaru, di sini, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan isu berhubung sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dijawab oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu berhubung perkara terbabit ada dibincangkan dalam Kabinet, namun pihaknya menyerahkan kepada menteri berkenaan untuk menjelaskan mengenai perkara itu.

Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dilaporkan berkata akan memberikan penjelasan kepada Kabinet berhubung isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sepang menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras.

Ahad lalu, kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu yang didirikan sejak 30 tahun lalu, didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

Ia bagaimanapun menimbulkan kemarahan beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau dilaporkan menyokong Kementerian Pendidikan dan Fadhlina, yang melarang sumbangan membabitkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras terhadap sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya sebelum ini, memaklumkan memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.

KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Surat pekeliling KPM pada 29 Mac 2018 menyatakan sumbangan kepada sekolah-sekolah tidak boleh melibatkan syarikat arak, rokok, judi dan  seumpamanya kerana boleh jejaskan potensi murid dari segi rohani, emosi dan jasmani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×