Tasik Bukit Merah kering, 5,000 hektar sawah terjejas

Tasik Bukit Merah kering, 5,000 hektar sawah terjejas

PESAWAH menggunakan pam air bergerak untuk menyedut air dari tali air dan masuk parit sawah di Kampung Parit Haji Ali, Alor Pongsu di Bagan Serai, Perak semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seluas 4,890.06 hektar sawah di lima kawasan di sini terjejas berikutan bekalan air ke sawah dihentikan sejak 28 Jun lalu disebabkan Tasik Bukit Merah kering akibat cuaca panas.

Pengarah Kawasan Pemba­ngunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, Noor Mazirah Teh berkata, ia melibatkan kawasan Kuala Kurau, Jalan Siakap, Alor Pongsu, Bagan Serai, Masjid Tinggi, Parit Gabis, Telok Medan, Semanggol dan Selinsing yang melibatkan 2,162 pesawah

Beliau berkata, pihaknya mengambil tindakan dengan menggerakkan pam air sebanyak 37 unit pelbagai saiz di lokasi yang terlibat untuk mengepam air dari parit.

Katanya, ia melibatkan kos sebanyak RM330,000 yang te­lah digunakan dalam tempoh 35 hari.

“Kos melibatkan skop kerja memasang, operasi, pembekalan diesel dan servis pam.

“Semua pam diletakkan di kawasan yang mempunyai sumber air di tali air dan juga menggunakan semula air yang ada di parit buang dan sungai berdekatan.

“Kami juga mengambil inisia­tif untuk mempertingkatkan penggunaan sumber air bawah tanah.

“Terdapat empat projek mendapatkan sumber air bawah tanah yang dibuat tahun lepas dan tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Unit Parit Haji Ali di Alor Pongsu, Mohd. Zaini Haarani, 65, berkata, walaupun pam air dihantar ke kawasan terjejas, bekalan air yang dipam dari parit masih tidak cukup untuk disalurkan ke dalam kawasan sawah di kampung itu.

“Kami sedaya upaya mengikut arahan yang diberi bagi menggunakan pam bergerak ini untuk mengambil air di tali air dan mengepam ke dalam parit saliran utama.

“Namun air yang dipam masih belum mencukupi untuk disalurkan ke dalam parit ladang yang terdapat petak sawah padi dan padi di kampung ini dilihat terbantut tumbesarannya dan kemungkinan mati,” katanya.

Kelmarin, akhbar ini menyiarkan laporan pesawah di Kerian yang baru menanam padi terjejas disebabkan Tasik Bukit Merah tidak dapat membekalkan air apabila tasik itu kering sejak bulan lalu.

Pengairan untuk sawah padi di Bagan Serai dihentikan sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian pada 28 Jun lalu berikutan paras arir tasik itu yang semakin menurun.

Ini menyebabkan padi yang baru ditanam 40 hari lalu daunnya mulai layu dan bertukar warna kepada kekuningan dan jika masih tiada air dibekalkan, kemungkinan padi yang baru ditanam akan mati.

Sebahagian besar kawasan yang terlibat dengan masalah air menyebabkan tanahnya kering kontang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×