KestembakKLIA: 3 dokumen termasuk laporan kimia belum diserah

Kes tembak KLIA: 3 dokumen termasuk laporan kimia belum diserah

HAFIZUL Hawari tiba Mahkamah Sepang semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pihak pendakwaan se­malam memaklumkan terdapat baki tiga lagi dokumen yang belum diserahkan kepada pihak pembelaan dalam kes Hafizul Hawari berhubung insiden melepaskan tembakan di Balai Ke­tibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Pada sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen di sini se­malam, Timbalan Pendakwa Ra­ya Nor Shazwani Abdullah ber­kata, tiga dokumen itu ialah la­poran perubatan penuh, kimia tempat kejadian dan forensik.

“Semalam ditetapkan serahan dokumen, saya telah me­nyerahkan kepada pihak pem­belaan dokumen-dokumen se­cara separa.

“Dokumen-dokumen yang ma­sih belum diserahkan adalah laporan perubatan penuh, laporan kimia tempat kejadian dan forensik. Justeru saya memohon satu tarikh lain bagi serahan dokumen seterusnya,” kata Nor Shazwani.

Mendengar perkara itu, Ha­kim Amir Affendy Hamzah kemudian bertanya adakah tiga lagi dokumen itu bagi melengkapkan serahan dokumen, Nor Shazwani memaklumkan seta­kat semalam, itu sahaja dokumen yang belum diserahkan.

Semasa prosiding, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul kemudian mengesahkan dokumen separa yang telah diserahkan dan tiga lagi dokumen yang belum diserah kepada pembelaan.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Amir kemudian mene­tapkan 28 Ogos ini bagi sebutan semula kes bagi serahan tiga lagi dokumen lanjutan seperti yang dimaklumkan pihak pendakwaan.

Terdahulu, Hafizul, 38, yang berbaju putih kelihatan tenang tiba di mahkamah pada pukul 9.40 pagi.

Pada 25 April lalu, Hafizul mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan selain mahkamah menolak ikat jami diberikan ke­pada tertuduh berikutan dua per­tuduhan itu serius.

Berikutan tiada ikat jamin diberikan, Hafizul kekal ke Penjara Sungai Buloh sehingga sebutan semula kesnya.

Mengikut pertuduhan perta­ma, Hafizul didakwa telah mela­kukan cubaan bunuh terhadap Farah Md. Isa, 38, (Farah Cie) di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal, 1 KLIA di sini pukul 1.09 pagi pada 14 April lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika menyebabkan kematian boleh di­kenakan penjara maksimum 20 tahun.

Pertuduhan kedua, Hafizul didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Mohd. Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol senjata yang boleh menyebabkan kematian pada waktu, tem­pat dan tarikh sama yang di­dak­wa mengikut Seksyen 326 Ka­nun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Selain Mahkamah Sepang, Hafizul turut didakwa dan me­ngaku tidak salah tujuh pertu­duhan tujuh pertuduhan terma­suk memiliki senjata api, peluru dan mercun.

Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, Kota Bharu pukul 2 petang pada 15 April lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, selepas melarikan diri lebih 36 jam, Hafizul yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang akhirnya berjaya diberkas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Hafizul ditahan di depan sebuah hospital swasta kira-kira pukul 3 petang.

Terdahulu pada 14 April lalu media melaporkan seorang pengawal peribadi Ustazah Farah Cie cedera parah selepas ditembak suspek dalam kejadian di KLIA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×