KUALA LUMPUR: Usaha bersepadu antara kerajaan persekutuan dan negeri amat penting dalam mencipta persekitaran perniagaan yang lebih dinamik dan lebih padu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, untuk mengekalkan momentum ini,i tumpuan kepada usaha bersama antara kerajaan persekutuan dan negeri adalah penting.
“Kerjasama ini akan membolehkan kita menyokong industri dengan lebih baik dan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia dan Selangor khususnya.
“Oleh itu, bagi meraih peluang tersebut, Malaysia perlu mencipta ekosistem yang kondusif untuk inovasi, keusahawanan dan pelaburan.
“Ini termasuk memberi sokongan kepada para usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memupuk kerjasama yang kukuh antara sektor awam dan swasta,” katanya dalam ucapan pada MIDA Invest Series Selangor: ‘Unfolding its business Potential’ di sini.
Tengku Zafrul berkata, kerjasama sedia ada antara kerajaan persekutuan dan negeri itu telah menunjukkan hasil pada 2023 dengan pelaburan yang diluluskan mencatat jumlah RM329.5 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah negara dan mencipta hampir 130,000 pekerjaan.
“Ini menunjukkan pendekatan proaktif Malaysia dalam pembangunan ekonomi melalui pelan yang teratur, kerjasama kerajaan yang bersepadu dan pelaburan strategik untuk memperkuat daya saing industri dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.
Bagi suku pertama tahun 2024, Tengku Zafrul berkata, pelaburan yang diluluskan mencapai RM83.7 bilion, meningkat sebanyak 13 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu daripada lebih 56 peratus daripada pelaburan asing yang diluluskan.
Jelasnya, pelaburan itu dijangka akan mencipta 29,000 pekerjaan baru, menandakan peningkatan sebanyak 14.6 peratus berbanding tahun ke tahun untuk rakyat Malaysia.
“Selangor telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sebagai salah satu negeri penyumbang utama pelaburan negara dengan menarik pelaburan sebanyak RM12.4 bilion pada suku pertama tahun 2024,” katanya.-UTUSAN










