KUALA LUMPUR: Selangor optimis untuk mengekalkan prestasinya sebagai antara penyumbang pelaburan terbesar negara menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2024 (SIBC 2024), kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Beliau berkata, bagi suku pertama tahun ini, Selangor berada di tempat ketiga dengan pelaburan sebanyak RM12 bilion.
Menurutnya, tahun lepas, Selangor berada di tempat kedua mencatat RM55 bilon secara keseluruhan.
“Jadi, sasaran kali ini untuk mengekalkan jumlah pelaburan besar dan mencipta peluang ekonomi signifikan kepada rakyat.
“Melalui SIBC ini, ia menjadi peluang ekonomi Selangor dan Malaysia untuk berkembang dan ruang kepada pempamer ke arah pintu gerbang Asean,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pembukaan SIBC 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
SIBC sesi pertama akan berlangsung serentak menghimpunkan lebih 285 pempamer termasuk dari negara luar.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihak menjemput delegasi ASEAN setiap untuk membincangkan fungsi dan potensi pelaburan serantau termasuk Malaysia.
Jelas beliau, terdapat ‘mega trend’ yang berkait dengan Malaysia antaranya di Selangor sendiri membabitkan digitalisasi, tenaga hijau yang semua itu telah dimasukkan di dalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS1).
“Oleh itu, tumpuan kita mahu menarik pelabur datang ke Malaysia khususnya Selangor selain membuka ruang kepada negeri-negeri lain mencipta peluang ekonomi.
“Contohnya, sektor industri bukan hanya di Selangor tetapi Negeri Sembilan dan Kedah turut hadir mempamerkan kawasan baharu yang mereka sasarkan sebagai kawasan industri,” katanya.
Amirudin berkata, pihaknya gembira dapat berkongsi peluang pelaburan dengan negeri lain.
“Ini termasuk negeri Pahang, Melaka dan Johor dalam mempamerkan terutama tempat strategik untuk pelaburan.
“Ia bukan hanya pameran barang perniagaan tetapi pameran kepada sokongan terhadap industri, pelaburan dalam negeri-negeri dan Selangor serta Malaysia,” katanya.-UTUSAN










