SAUDARA PENGARANG,
Menyoroti malapetaka yang terjadi ke atas rakyat Palestin di Gaza, umat Islam beserta seluruh masyarakat dunia yang menjunjung sifat kemanusiaan berasa tertampar kerana tidak mampu menghentikan kekejaman rejim Zionis yang bermaharajalela melakukan kezaliman tanpa henti hingga ke saat ini.
Dalam hal ini, perasaan marah dan kecewa yang dirasai tidak sewajarnya menghalalkan tindakan atau ucapan ekstrem yang boleh mengakibatkan kebinasaan yang lain.
Utamakan adab dan hikmah dalam menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin termasuk menghormati pandangan yang berbeza dan mengelakkan kenyataan yang tidak adil terhadap mana-mana pihak.
Boikot yang berkesan disasarkan kepada entiti yang terbukti menyokong penindasan di Palestin, bukan sekadar berdasarkan persepsi atau khabar angin yang tidak tentu kesahihannya.
Ini memberikan isyarat bahawa ada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan ‘hijrah ekonomi’ agar negara memperkuatkan lagi ekonomi dalaman ke tahap dapat bersaing secara sihat dengan syarikat pelaburan luar negara yang masih lagi diperlukan.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu berhati-hati dalam memilih syarikat-syarikat pelaburan luar negara yang sesuai dan unsur sensitiviti perlu diambil kira di samping memastikan entiti pelaburan itu tidak terlibat atau menyumbang dalam keganasan dan penindasan seperti di Palestin.
Dalam hal ini, pemerkasaan sistem kewangan Islam sebagai inisiatif Ekonomi Madani oleh kerajaan, dilihat sebagai langkah penting dalam mewujudkan pembangunan holistik berkonsepkan halal dan tayyib.
Melalui pengurusan kewangan yang adil, ihsan dan berlandaskan maqasid syariah, ia membawa harapan untuk membentuk ekonomi yang lebih inklusif dan adil.
Salah satu pendekatan untuk mencapai tujuan ini adalah melalui pemerkasaan sistem ekonomi berdasarkan sedekah.
Manfaat sistem ekonomi berasaskan sedekah telah terbukti mewujudkan kesejahteraan ekonomi dan pembangunan ummah.
Sistem ekonomi berasaskan sedekah bukan hanya menjadi pilihan untuk memperbaiki ketidaksempurnaan dalam sistem ekonomi konvensional, tetapi juga berperanan sebagai pengekal nilai-nilai kebajikan dan pembangunan yang berterusan.
Sambutan Awal Muharam, baru-baru ini mengajak kita untuk menghayati semula erti perubahan sejati dengan semangat hijrah yang diwarisi daripada Rasulullah SAW.
Marilah kita jadikan momentum ini sebagai titik permulaan untuk melakukan perubahan positif dalam diri, masyarakat dan negara.
Dengan menjadikan perpaduan sebagai teras kekuatan, toleransi sebagai budaya hidup dan kebijaksanaan sebagai panduan, cabaran semasa dapat didepani dengan lebih mudah. Setiap langkah kecil ke arah kebaikan adalah permulaan kepada perubahan besar.
Bersama-sama, dengan azam yang membara dan tindakan yang berani, semua orang boleh membina Malaysia yang lebih kuat, adil dan makmur. Sebuah negara yang menjadi contoh kepada dunia tentang kekuatan dalam kepelbagaian.-UTUSAN
BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia










