Qunut nazilah hanya untuk musuh Islam, bukan musuh politik

Qunut nazilah hanya untuk musuh Islam, bukan musuh politik

QUNUT nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan golongan murtad sahaja serta tidak ke atas golongan umat Islam sesama sendiri. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menzahirkan rasa kecewa kerana perbuatan menggunakan agama dalam setiap kesempatan politik terus diamalkan di negara ini meskipun sudah ditegur dan diingatkan berkali-kali bukan sahaja oleh pihak berkuasa agama seperti mufti dan ulama, malah juga oleh institusi diraja di negara ini.

Terbaharu ialah tindakan membacakan Qunut nazilah di Parlimen baru-baru ini selepas keputusan dibuat untuk menggantung seorang ahlinya. Ia jelas merupakan amalan melampau, kerana perbezaan politik terus dijadikan asas untuk membacakan doa berkenaan.

Qunut nazilah merupakan satu doa yang dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah besar. Hal ini sepertimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW yang membacakan doa berkenaan apabila berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas sahabat baginda.

Berdasarkan pengamalan baginda serta pandangan para ulama, dapat dilihat dengan jelas bahawa doa Qunut nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan golongan murtad sahaja serta tidak ke atas golongan umat Islam sesama sendiri.

Dalam kejadian ini, ia dibacakan di luar solat, bukan ketika perang, dan bukan juga kerana musibah yang menimpa umat Islam secara umum. Menyamakan perseteruan politik dengan amalan baginda Rasulullah SAW ketika menghadapi musuh-musuh Islam jelas menunjukkan amalan politik taksub, sempit dan melampau.

Justeru, Yadim menyeru kepada ahli-ahli politik supaya sentiasa menunjukkan budi pekerti terpuji apabila berada di Dewan Parlimen yang mulia, kerana anda mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.-UTUSAN

ZAMRI ZAINAL ABIDIN
Ketua Pegawai Eksekutif Yadim

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×