MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mendenda seorang bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) didenda RM50,000 selepas tertuduh mengaku bersalah menipu bayaran gaji guru berjumlah RM30,749.88.
Tertuduh, Muhammad Anuar Mat Zin, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas pertuduhan pilihan pertama dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan seorang guru sandaran tidak terlatih (GSTT) untuk mempercayai bahawa resit rasmi bagi maksud pembayaran balik emolumen imbuhan tetap perumahan (ITP), elaun bantuan kos sara hidup (COLA) dan elaun kakitangan awam (EKA) kerana peletakan jawatan berjumlah RM30,749.88 adalah tulen.
Tindakan secara tidak jujur itu telah mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang berkenaan yang tidak akan diserahkan jika tidak diperdayakan sedemikian.
Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Sumber Manusia 2 JAIM dalam daerah Melaka Tengah antara 3 November 2017 hingga 8 November 2017.
Mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh ketika kejadian bertanggungjawab mengawal selia pegawai bawahan dalam menguruskan hal-hal berkaitan perkhidmatan guru-guru agama bagi sekolah rendah dan menengah agama, hal berkaitan gaji, kontrak dan lain-lain.
Pada 27 Mei 2017, tertuduh telah menyediakan surat tuntutan bayaran balik gaji terlebih bayar dengan kaedah bayaran secara tunai dan resit rasmi Kerajaan Negeri Melaka kepada tertuduh dan tiga lagi orang GSTT.
Perbuatan itu mendorong mereka menyerahkan wang tunai berjumlah keseluruhan RM154,884.40 kepada tertuduh sedangkan bayaran tersebut tidak diterima JAIM.
Siasatan mendapati, tertuduh telah membuat dan menandatangani surat tuntutan bayaran balik gaji terlebih bayar tersebut dan mengeluarkan resit rasmi Kerajaan Negeri Melaka.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali tidak membantah hukuman denda tanpa penjara, namun mencadangkan sekurang-kurangnya RM50,000 dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Peguam Mohd. Nazri Abd. Hamid merayu denda rendah diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan bapa tunggal yang perlu menyara tiga anak masih bersekolah.
Tambahnya, tertuduh juga telah digantung tugas di sebuah kolej matrikulasi di Johor, malah berisiko dibuang kerja.
Mahkamah menjatuhkan denda berjumlah RM50,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN










