SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri bernasib baik apabila sempat keluar dari kereta mereka yang terbakar ketika melalui Jalan Ambangan Height berdekatan Taman SP Saujana di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, pasangan berusia sekitar 40-an itu menyedari kepulan asap memenuhi bahagian hadapan kenderaan sebelum segera berhenti di bahu jalan untuk memeriksa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan setelah sempat keluar daripada kenderaan jenis Peugeot itu yang musnah 100 peratus.
“Polis menerima makluman kejadian itu melalui talian MERS 999 dan menghantar Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ke lokasi kejadian. Kerja memadam kebakaran dilakukan oleh anggota bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Wan Azharuddin memaklumkan, seorang warga emas lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori di Kilometer 45, Jalan Alor Setar-Butterworth, berdekatan Sungai Toh Pawang malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 malam itu, mangsa, M. Mahavisunu, 63, yang bekerja sebagai pemandu lori maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan perut.
“Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Gurun. Motosikal jenis Honda Wave miliknya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki lorong kanan dan ketika itu sebuah lori jenis Isuzu dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuhnya.
“Mayat dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala pemandu lori berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -UTUSAN










