KUALA LUMPUR: Deretan kedai yang didakwa dikuasai warga asing digempur Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di Kampung Masjid, Jalan Segambut Dalam di sini, hari ini.
Serbuan Op Belanja yang bermula pukul 3 petang itu menyasarkan enam premis membabitkan kedai runcit, gerai makanan, kedai telekomunikasi dan kedai gunting rambut dipercayai menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan turut diusahakan warga asing.
Ketika pemeriksaan, seorang daripada PATI memberikan alasan hanya menolong perniagaan saudaranya tanpa gaji sejak seminggu lalu.
Bagaimanapun, risikan mendapati lelaki yang bekerja di sebuah premis telekomunikasi itu disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial apabila bekerja di premis tersebut.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya melakukan risikan selama sebulan susulan aduan orang awam.
“Kita berjaya menangkap 10 warga asing membabitkan warga Indonesia (7 orang) warga Bangladesh (2 orang) warga India (seorang).
“Kesemua suspek berusia 25 tahun hingga 60 tahun disyaki bekerja di semua premis yang diserbu,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.
Mengulas lanjut, Mohammed Saupee berkata, seorang wanita warga Indonesia turut ditahan disyaki menjadi pemilik salah sebuah premis selain turut menggajikan warga asing.
“Kesemua tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen perjalanan, tinggal lebih masa dan melindungi PATI dalam premis,” katanya.
Kata beliau semakan mendapati beberapa premis perniagaan yang diperiksa mempunyai lesen perniagaan sah milik warga tempatan namun diusahakan warga asing. .- UTUSAN











