SAUDARA PENGARANG,
KOMITMEN kerajaan dalam memperkemaskan tadbir urus ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penting untuk membangunkan kemahiran profesional tenaga pengajar dalam bidang kemahiran ini dalam menjayakan usaha tersebut.
Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) berperanan sebagai sebuah institusi yang memimpin dalam latihan tenaga pengajar kemahiran, memainkan peranan penting dalam pelaksanaan TVET Madani.
CIAST mengambil inisiatif dalam mengembangkan kurikulum yang tidak hanya relevan dengan keperluan industri semasa, tetapi juga yang merangkumi teknologi terkini dan metodologi pengajaran yang efektif selain menekankan pembelajaran relevan, fleksibel serta berterusan.
CIAST juga aktif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai sektor industri untuk memastikan bahwa kursus dan modul latihan yang ditawarkan adalah sesuai dengan keperluan pasaran kerja.
Tenaga pengajar yang dilahirkan memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi negara melalui pembangunan sumber manusia yang berkemahiran tinggi, secara tidak langsung membantu Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan meningkatkan daya saing negara.
Justeru, dengan adanya tenaga pengajar yang dilatih CIAST maka kualiti pendidikan TVET akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal, tetapi juga dalam pembentukan sikap dan nilai yang positif.
Situasi ini pastinya dapat memastikan graduan kita bukan sahaja bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan, tetapi juga mampu menghadapi cabaran sosial dan etika dengan penuh keyakinan dan integriti.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD SHAH dan MOHD. HAZIMIN MOHD NAWAWI
Universiti Teknologi Mara (UiTM)









