PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh rakan sepengajian mereka iaitu Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi dan Muhammad Najib Mohd. Razi.
Tiga lagi ialah Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.
Kesemua bekas pelajar itu kini berusia 28 tahun.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sebelum ini dipinda oleh Mahkamah Tinggi kepada Seksyen 304(a) iaitu kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara membenarkan rayuan silang pendakwa raya agar hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan terhadap mereka, digantikan dengan hukuman mati.
Mahkamah Rayuan berpendirian, keenam-enam bekas penuntut terbabit berniat jahat, zalim dan tidak berperikemanusian kerana sanggup membunuh Zulfarhan dengan cara dipukul dan didera menggunakan seterika wap panas.
Semasa memberi keputusan, Hakim Hadhariah berkata, mereka bukan sahaja tidak peduli, malah ‘menutup mata dan telinga’ melihat Zulfarhan menjerit dan menggelupur kesakitan setelah tubuh serta kemaluannya ditekap dengan seterika wap.
Menurut beliau, selepas diseksa, mereka kemudian menyembunyikan Zulfarhan dan cuba merawat sendiri kecederaan dialami mangsa bagi mengelakkan perbuatan jenayah itu dikesan.
Oleh demikian, Hakim Hadhariah berpendapat hanya satu hukuman yang wajar dijatuhkan terhadap mereka iaitu gantung sampai mati manakala hukuman penjara 18 tahun diketepikan.
“Kami bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh dilakukan bukan sahaja mengejutkan minda kehakiman malah kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes-kes yang pernah berlaku (rarest of the rare) yang melibatkan jenayah kekejaman yang amat berbahaya kepada masyarakat. Perbuatan zalim sebegini harus dihentikan.
“Ibu bapa mana yang tidak merasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila jenazah dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan memilukan,” kata beliau.
Hakim Hadhariah membacakan alasan penghakiman setebal 93 muka surat dalam rayuan keenam-enam bekas penuntut UPNM itu terhadap sabitan dan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam prosiding sama, panel itu menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap 12 bekas penuntut lain kerana mencederakan Zulfarhan. Hukuman itu dinaikkan dari tiga tahun yang diputuskan sebelum ini.
Mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.
Mereka diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas tiada penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dikemukakan di mahkamah, semalam.
Mengikut pertuduhan, perbuatan mencederakan Zulfarhan dilakukan dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017 manakala mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Sementara itu, ibu bapa kepada Zulfarhan dilihat melakukan sujud syukur dan menangis selepas keluar dari mahkamah.
Zulkarnain Idros, 60, berkata, dengan keputusan tersebut akhirnya keadilan berpihak kepada anaknya, Zulfarhan.
“Kami bersyukur kerana Allah telah makbulkan doa saya dan isteri supaya kes ini dikembalikan kepada hukuman gantung sampai mati.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini serta pihak pendakwaan yang membuktikan bahawa adanya niat membunuh,” kata Zulkarnain yang ditemani isterinya, Hawa Osman, 61.
Hawa menunjukkan gambar Zulfarhan dan sapu tangan terakhir peninggalan anaknya itu kepada media. – UTUSAN







