SAUDARA PENGARANG,
MENGAMBIL kira perkembangan terkini dalam penurunan harga minyak petrol di Vietnam, adalah jelas bahawa langkah-langkah yang diambil oleh negara tersebut membuahkan hasil yang positif.
Kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan untuk mengikuti jejak langkah Vietnam dalam usaha menurunkan harga minyak petrol bagi meringankan beban rakyat.
Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) memahami negara kita mempunyai struktur subsidi yang berbeza berbanding Vietnam, minyak petrol tidak sepenuhnya disubsidi oleh kerajaan. Namun tujuan utama di sini adalah inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan Vietnam membuahkan hasil penurunan harga petrol.
Dalam pada itu juga, bukan hanya disebabkan oleh pengurungan dana subsidi harga petrol Vietnam turun. Langkah-langkah lain yang diambil oleh kerajaan mereka termasuk mengurangkan cukai dan meningkatkan import minyak untuk mengurangkan kesan harga yang tinggi kepada pengguna dan perniagaan.
Tidak dinafikan kerajaan madani mempunyai rancangan dan formula untuk menurunkan harga petrol namun tidak semuanya berkesan.
Negara lain mewujudkan inisiatif atau mekanisme kestabilan harga petrol dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada rakyat.
Tetapi tidak kerajaan Madani. Terdapat juga rancangan, strategi, inisiatif yang diwujudkan memberi kesan buruk dan menyusahkan rakyat.
Malaysia mempunyai latar belakang ekonominya yang kuat dan sumber daya manusia yang berkualiti, mempunyai kemampuan untuk melaksanakan strategi komprehensif untuk memastikan penurunan harga minyak petrol yang lebih berkesan.
Gerakan berharap kerajaan mengadaptasi pendekatan Vietnam yang lebih fleksibel dan responsif bersesuaian dengan ekonomi, kewangan dan demografi Malaysia.-UTUSAN
DATUK CH’NG BOON CHYE
Ketua Biro Pembangunan
Perusahaan Kecil & Sederhana
Parti Gerakan Rakyat Malaysia










