GEORGE TOWN : Pulau Pinang sekali lagi mencipta prestasi membanggakan dalam peperiksaan awam menerusi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 apabila berjaya merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 2.90 mata.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Roland @ Rozaidi Abu Hassan berkata, prestasi tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 0.04 mata berbanding PNGK pada tahun 2022 iaitu hanya 2.86.
“Pulau Pinang mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dan kita akan berusaha sehingga sasaran negeri iaitu PNGK 3.0 tercapai.
“Bagi mereka yang sedang belajar di Tingkatan 6, berusahalah bagi memastikan Pulau Pinang berjaya capai PNGK 3.0 pada STPM 2024,” katanya dalam sidang akhbar di Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin di sini hari ini.
Menurut beliau, daripada seramai 1,743 calon sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) yang telah menduduki STPM 2023, seramai 1,727 calon telah layak mendapat sijil.
“Sebanyak 15 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus dan antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian, Sekolah Menengah Agama Lelaki (SMKA) Al- Mashoor, SMKA Perempuan Al-Mashoor dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, daripada seramai 1,727 calon yang layak mendapat sijil pula, 70 orang telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan keputusan PNGK 4.0.
“Seramai lapan pelajar dari Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin mendapat keputusan cemerlang PNGK 4.0 dan ini menjadikan kolej ini antara institusi yang mencatatkan prestasi pelajar cemerlang tertinggi di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, ujar beliau, hanya seorang sahaja calon yang gagal iaitu mendapat F bagi semua mata pelajaran pada STPM 2023 ini.-UTUSAN










