16 calon STPM Perlis peroleh PNGK 4.00, tiada calon gagal - Utusan Malaysia

16 calon STPM Perlis peroleh PNGK 4.00, tiada calon gagal

AYUB Ahmad (duduk, tiga dari kiri) merakamkan gambar bersama pelajar cemerlang STPM selepas pengumuman keputusan peperiksaan STPM di SMK Syed Sirajuddin, Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perlis terus mengekalkan kecemerlangan untuk empat tahun berturut-turut apabila tiada calon direkodkan gagal dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 di semua pusat peperiksaan negeri ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Perlis, Ayub Ahmad berkata, selain itu, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) bagi peperiksaan STPM 2023 di negeri ini juga kekal cemerlang dengan mendapat keputusan 2.85 sekali gus mengatasi peringkat kebangsaan sebanyak 0.01.

Malah katanya, pencapaian calon yang mendapat PNGK 4.00 di Perlis juga meningkat kepada 16 orang berbanding 13 orang pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, enam daripada sembilan buah sekolah pusat peperiksaan STPM di negeri ini juga berjaya memperolehi keputusan lulus penuh 100 peratus.

“Malah lebih dari separuh calon yang menduduki STPM di negeri ini mendapat PNGK 3.00 ke atas,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayub berkata, pada 2023, seramai 400 calon telah mendaftar peperiksaan di negeri ini berbanding 450 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 398 calon dari sekolah kerajaan manakala dua lagi calon persendirian.

“Daripada keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan STPM di negeri ini, 389 orang meliputi 98.73 peratus dari sekolah kerajaan meraih keputusan lulus penuh,” katanya.

Dalam pada itu, Ayub berkata, terdapat dua sekolah di negeri ini mencatatkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu SMK Putra (3.21) dan SMK Syed Sirajuddin (2.70).

Tambahnya, Jabatan Pendidikan negeri amat berbangga dengan pencapaian STPM pada kali ini dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak antaranya pihak sekolah, calon-calon, guru dan petugas peperiksaan.

“Jabatan Pendidikan negeri berharap kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin kepada kejayaan-kejayaan lain pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN