BESUT: Terengganu mempertahankan kedudukan terbaiknya selama lima tahun berturut-turut apabila merekodkan keputusan cemerlang bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan, hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, negeri ini mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK), 3.11, mengatasi PNGK Kebangsaan iaitu 2.84.
Menurut beliau, seramai 2, 211 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM pada tahun 2023 di 46 buah pusat peperiksaan di Terengganu.
“Daripada 2, 211 orang calon, seramai 79 calon berjaya mendapat keputusan semua A penuh dengan PNGK 4.00 berbanding calon memperoleh semua A penuh tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan STPM Terengganu 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, di sini, hari ini.
Wan Zuraidi memberitahu, pencapaian calon luar bandar juga di tahap membanggakan apabila mencatatkan PNGK 3.05 berbanding pencapaian calon bandar iaitu 3.12.
Tambahnya, sebanyak 36 daripada 46 buah sekolah mencapai PNGK 3.00 dan ke atas. – UTUSAN










