STPM: Pahang julung kali capai GPS melepasi 3.0 - Utusan Malaysia

STPM: Pahang julung kali capai GPS melepasi 3.0

AHMAD ZAMRI Md. Isa (tengah) bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) menunjukkan keputusan STPM 2023 dalam sidang akhbar di pejabat JPNP di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pahang buat pertama kalinya mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.03 bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 meningkat 0.06 mata berbanding 2.97 tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md. Isa berkata, Pahang belum pernah mencapai GPS 3.0 sejak sistem baharu STPM diperkenalkan iaitu pada 2015.

Bagaimanapun katanya, GPS Pahang pada tahun ini masih kekal mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPN) 2.84.

Tambahnya lagi, bagi STPM 2023, seramai 1,936 daripada 1,942 calon atau 99.7 peratus telah mendapat kelulusan penuh yang mana 106 calon mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

“Prestasi yang membanggakan telah dicapai oleh calon-calon STPM 2023 negeri Pahang dengan kali ini seramai 106 calon bersamaan 5.46 peratus mendapat keputusan tertinggi PNGK 4.0 berbanding pencapaian lalu seramai 78 calon bersamaan 3.88 peratus.

“Ini adalah pencapaian terbaik negeri Pahang baik dari segi peratus mahupun bilangan calon,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2023 di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zamri lagi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Raub muncul sebagai sekolah yang mencatatkan calon yang mendapat PNGK 4.0 paling ramai iaitu seramai sembilan orang.

“SMK Sulaiman, Bentong dan SMK Agama Pahang, Rompin pula muncul sebagai sekolah paling cemerlang dengan pencapaian 100 peratus calonnya lulus emoat mata pelajaran (4P,)” ujarnya.

Menurutnya, Anugerah Murid Orang Asli Terbaik Kebangsaan berjaya disandang oleh Jazlin Jusoh dengan skor PNGK 4.0 daripada SMK Sulaiman, Bentong.

Katanya lagi, sebanyak 21 mata pelajaran telah ditawarkan dan seramai 10 calon daripada 25 calon yang mengambil lima mata pelajaran memperoleh lulus penuh 5P dan 1611 calon telah lulus penuh 4P.

“Daripada 21 mata pelajaran ditawarkan, bahasa Cina, Syariah dan ICT menunjukkan pencapaian 100 peratus lulus. Daripada jumlah itu, 12 mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam pencapaian lulus penuh daripada 0.06 hingga 27.27 mata.

“Sembilan mata pelajaran telah menunjukkan penurunan dan mata pelajaran Fizik menunjukkan penurunan paling besar iaitu 8.81 mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×