PEDIH ulu hati, sakit dada, loya dan muntah merupakan antara simptom penyakit refluks gastroesofagus (GERD).
Dianggarkan 9.7 peratus penduduk Malaysia menderita akibat gangguan pencernaan itu.
Kebiasaannya pesakit diberikan ubat manakala bagi kes kronik pula memerlukan pembedahan.
Bagi yang ingin mencuba kaedah rawatan semula jadi, disarankan mengambil kacang soya ditapai.
Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti UCSI, Ts. Dr. Tan Chung Keat berkata, pengambilan sumber protein itu bukan sahaja dapat memulihkan gejala GERD, malah meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan keradangan.
Penemuan itu diperoleh hasil kajian klinikal selama 12 minggu terhadap 110 responden yang mengalami pedih ulu hati, asid refluks, regurgitasi dan sakit dada tidak berkaitan jantung.
Katanya, kacang soya ditapai menawarkan manfaat kesihatan lebih besar berbanding kacang soya yang tidak menjalani proses pemeraman atau penapaian.
Bahkan, ia mempunyai ciri-ciri antidiabetes, antioksidan, antikanser dan antiradang.
“Kajian merekodkan pengurangan 47.6 peratus dalam gejala pedih hulu hati diikuti penurunan 40.9
peratus bagi ketakcernaan.
“Manakala penyusutan 62.9 peratus dalam gejala regurgitasi dan sehingga 43.5 peratus bagi pelbagai
petanda keradangan,” katanya ketika majlis pengumuman hasil kajian dengan produk makanan tambahan, Nattome baru-baru ini.
Turut hadir Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nattome, Jon Lai dan pakar diet, Indra Balaratnam.

Kajian turut mendapati lonjakan dalam kualiti hidup sehingga 13.3 peratus bagi Refluks & Dispepsia (Qolrad), iaitu kayu pengukur masalah psikometrik peserta.
Ujarnya, pengambilan makanan berasaskan kacang soya ditapai terbukti meningkatkan kecergasan, fungsi fizikal dan sosial pesakit.
Ia juga mampu mengatasi gangguan emosi dan tidur serta masalah pemakanan.
“Secara keseluruhannya, makanan tambahan berasaskan kacang soya ditapai mampu menangani GERD dengan berkesan, mengurangkan tahap keradangan dan meningkatkan kualiti hidup penggunanya,” katanya.
Malah, 96 peratus daripada peserta mendapati masalah usus mereka bertambah baik pada akhir kajian.
MAKAN SECARA BERTANGGUNGJAWAB
Amalan pemakanan dan gaya hidup adalah komponen penting dalam menguruskan GERD serta mengurangkan ketidakselesaan.
Indra menasihatkan orang ramai untuk makan secara bertanggungjawab dan mengelak makanan dan minuman yang mencetuskan pedih hulu hati serta asid refluks.
Selain itu, makan dalam jumlah yang kecil dan kerap termasuk hidangan yang kaya dengan kandungan probiotik setiap hari.
“Usus sihat memastikan proses penghadaman yang baik.
“Apabila makanan dihadamkan dengan baik, sel-sel badan dapat menyerap nutrien sekali gus mengukuhkan tahap kesihatan keseluruhan, menguatkan sistem imun dan mengurangkan risiko penyakit kronik,” katanya.
Antara makanan mesra GERD disarankan ialah bijirin penuh, protein rendah lemak, sayur, buah, kekacang, bijian di samping makanan ditapai seperti tempe, kimchi dan
natto.
Dalam masa sama kerapkan bersenam, kurangkan stres dan mendapatkan tidur yang secukupnya.










