PUTRAJAYA: Ramai pelajar Malaysia di Bangladesh mengadu terputus bekalan makanan di asrama selain bimbang keselamatan mereka ekoran rusuhan ganas di negara tersebut.
Perkara itu didedahkan wakil ibu bapa kumpulan penuntut terbabit, Mejar Jeneral (B) Nubli Hashim, 61, ketika ditemui di Wisma Putra semalam.
“Anak perempuan saya memaklumkan bahawa mereka tiada stok makanan dan yang dijual di kedai runcit pula jika ada memang terhad serta harga sangat mahal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersama sekumpulan ibu bapa yang anak mereka masih terkandas di Bangladesh mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, di sini.
Pada sesi sejam itu, mereka bersyukur apabila dimaklumkan bahawa Wisma Putra bakal menggerakkan misi evakuasi hari ini untuk warganegara Malaysia di sana.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di ibu kota Dhaka mengenal pasti sejumlah 192 rakyat negara ini di seluruh negara Asia Selatan itu termasuk baki 124 pelajar yang terkandas.
Nubli yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan berkata, beliau tidak dapat tidur sejak minggu lalu ekoran situasi teruk di Bangladesh yang menakutkan banyak pihak.
“Saya boleh berhubung sekejap sahaja sebelum dengar bunyi angin di telefon cukup teruk selepas kerajaan negara itu memutuskan talian komunikasi termasuk internet,” katanya.
Beliau yang baru bersara daripada perkhidmatan tentera pada akhir tahun lalu juga cemas apabila diberitahu anaknya bahawa semua operator penerbangan membatalkan jualan tiket.
“Lebih perit ketika waktu perintah berkurung, pelajar ini tidak dapat beli tambah nilai untuk prabayar telefon bimbit dan terpaksa berjimat untuk elak kredit cepat habis,” katanya. – UTUSAN







