Protes: GMPS mahu pelajar Malaysia di Bangladesh dibawa pulang

Protes: GMPS mahu pelajar Malaysia di Bangladesh dibawa pulang

MUHAMAD DANIAL ALIMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan perlu segera menjalankan usaha untuk membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Bangladesh susulan situasi mencabar di negara itu pada masa ini dengan insiden rusuhan yang meluas.

Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhamad Danial Alimin berkata, dalam keadaan semasa yang tidak menentu dan mencabar, GPMS merasakan adalah wajar bagi kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

“Kami (GPMS) ingin menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang berada di Bangladesh.

“Kerajaan perlu segera menjalankan usaha untuk membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Bangladesh.Ini termasuk menyediakan penerbangan khas atau apa-apa bentuk pengangkutan yang sesuai untuk memastikan pelajar-pelajar ini dapat pulang dengan selamat,” katanya di sini, hari ini.

Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.

Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan, kerajaan telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara tersebut dan mengerahkan tentera selepas pertempuran berlaku antara penunjuk perasaan dengan polis semasa protes pelajar, menurut pengumuman tentera pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Muhamad Danial berkata, pelajar-pelajar Malaysia yang terkesan mungkin memerlukan bantuan logistik dan kewangan untuk kembali ke tanah air.

“Dalam hal ini, kerajaan harus mempertimbangkan untuk menyediakan dana kecemasan atau sokongan kewangan lain bagi membantu mereka.

“Komunikasi yang jelas dan terperinci perlu diberikan kepada pelajar-pelajar dan keluarga mereka mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan. Ini termasuk maklumat mengenai tarikh dan waktu pemindahan serta prosedur keselamatan yang perlu diikuti,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Danial berkata, GPMS juga menyeru pihak kedutaan Malaysia di Bangladesh untuk memainkan peranan proaktif dalam mengurus serta memantau keadaan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

“Bantuan dari pihak kedutaan adalah amat penting untuk memastikan proses pemindahan berjalan lancar.

“GPMS percaya bahawa keselamatan pelajar-pelajar kita adalah tanggungjawab bersama dan adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan mereka dilindungi dalam situasi yang mencabar ini,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×