JOHOR BAHRU: Ibu kepada remaja perempuan yang lemas, Nurfarah Abu Othman, 36, menganggap anaknya, Nurul Umaierah Qolessya Sujak, 14, sebagai seorang yang ringan tulang dan selalu membantu menguruskan adik-adiknya.
Nurul Umaierah Qolessya ditemui lemas ketika mandi dan memancing bersama kakak dan tiga adiknya di anak sungai dekat Taman Pulai Perdana, di sini semalam.
Nurfarah berkata, anak keempat daripada tujuh beradik yang mesra disapa dengan panggilan ‘baby’ itu merupakan seorang yang positif, ceria dan rajin.
“Baby seorang anak yang manja, sebab itu walaupun dah besar arwah lekat dengan panggilan baby lagi. Arwah rajin menguruskan adik-adik yang kecil untuk ke sekolah selain menyiapkan baju sekolah yang perlu dipakai.
“Pada sebelah malam, baby akan mengajar adik-adik yang masih kecil membaca buku, arwah seorang anak yang rajin dan baik.
“Saya tidak sangka akan kehilangannya sebab kami sekeluarga baru meraikan hari lahirnya, kelmarin. Pada ketika itu, dia sempat mencium saya dan saya doakan yang terbaik untuknya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.
Menurut Nurfarah, aktiviti berkelah dan memancing di Taman Pulai Perdana, semalam adalah permintaan Nurul Umaierah Qolessya kepada bapa tirinya sebagai hadiah hari lahirnya.
Katanya, kesemua tujuh anaknya amat menggemari aktiviti memancing dan mandi di sungai
“Semalam adalah permintaan arwah untuk kami berkelah, sudah ajal dia pergi di hari mulia, hari Jumaat, kami reda dengan ketentuanNya.
“Kelmarin, adiknya yang berusia tujuh tahun tidak sihat dan demam, arwah berulang kali berselawat di telinga adiknya,” katanya.
Nurfarah memaklumkan arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam batu 26 Pekan Nanas, Pontian berhampiran dengan kubur ayah kandungnya.-UTUSAN











