SHAH ALAM: UMNO Bahagian Subang pada hari ini ,membuat usul khas supaya Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh dilantik sebagai menteri.
Ketua Bahagian itu, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata, usul itu dibuat melihat kepada kelantangan Dr. Muhamad Akmal bersuara terhadap isu yang dekat dengan rakyat, selain bersungguh-sungguh menjalankan tugasnya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Melaka ketika ini.
“Saya melihat sudah dua penggal jawatan Menteri dan Timbalan Menteri tidak diberikan kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
“Dr. Muhamad Akmal selalu menyuarakan pelbagai isu rakyat, yang juga suara akar umbi ahli sebenarnya. Jadi, suara ini sebenarnya menjadi semak dan imbang dalam Kabinet (dalam membuat keputusan),” katanya selepas mengiringi Dr. Akmal merasmikan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Subang, di Bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.
Justeru itu, Arman Azha menyeru bahagian Pemuda seluruh negara yang masih belum bermesyuarat lagi membuat usul sama supaya usul tersebut diterima dan dapat dibahas ketika Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini.
Tegasnya, rakyat ketika ini mahukan muka baharu bagi menerajui kerajaan negeri dan Pusat, yang mungkin mempunyai idea baharu untuk memajukan negeri dan negara.
Sementara itu, Dr. Muhamad Akmal menzahirkan penghargaan terhadap usul UMNO Bahagian Subang itu.
“Bagaimanapun dengan rasa hormat, saya menolak usul tersebut kerana kita perlu menghormati keputusan yang dibuat Perdana Menteri. Fokus saya ketika ini adalah mengembalikan semula kegemilangan UMNO, supaya rakyat kembali mengundi parti ini,” jelasnya.
TAMAT
Keterangan Gambar
ARMAN Azha Abu Hanifah (kiri) bersama Dr. Muhamad Akmal Saleh ketika majlis itu di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor hari ini-FOTO/AFIQ RAZALI











