PETALING JAYA: Kumpulan QI telah melakar sejarah dengan meraih dua anugerah berprestij menerusi Perjanjian Kewangan Berstruktur Terbaik dan Janji Niaga Terbaik Malaysia di Majlis Anugerah Berita Kewangan Islamik (IFN) 2023 yang berlangsung di Dubai baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif QI Capital, Shekhar Balasubramaniam berkata, anugerah ini merupakan bukti komitmen Kumpulan QI terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam sektor kewangan Islamik.
“Projek pensekuritian perintis ini bukan sahaja mempamerkan kepakaran kewangan, tetapi juga menyerlahkan dedikasi terhadap impak sosial kerana hasil yang dilaburkan dalam pembangunan kampus universiti baharu.
“Pengiktirafan ini juga memberi inspirasi kepada Kumpulan QI untuk terus melangkaui sempadan dan menyumbang secara positif kepada industri dan komuniti,” katanya.
Tambahnya, kemenangan ini juga mengiktiraf kejayaan Program Sukuk Ijarah Kumpulan QI yang baru-baru ini dijalankan dengan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB).
Turut menerima anugerah tersebut mewakili pihak Kumpulan QI ialah Ketua Pegawai Eksekutif QI Capital, Shekhar Balasubramaniam bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, YK Lee.
Mengulas lanjut, Shekhar berkata, projek yang menerima anugerah tersebut diterajui oleh QI Capital, cawangan pelaburan Kumpulan QI melibatkan pensekuritian aset tunggal yang unik dalam pasaran kewangan Islam dengan langkah pengurangan risiko lanjutan.
Katanya, projek ini disokong oleh Silver Formula ABS dimana pensekuritian ini tertumpu kepada pengaturan penjualan dan pajakan balik.
“Projek ini menghasilkan terbitan Program Sukuk Ijarah bernilai RM100 juta, sekuriti bersandarkan aset sebenar yang jarang berlaku dalam kewangan Islam global dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) sebagai pelanggan utama.
“Dana yang dikumpul juga akan digunakan untuk membina kampus baharu seluas 10 ekar di bagi Universiti Quest Antarabangsa di Perak sebagai usaha niaga pendidikan Kumpulan QI,” jelasnya.
Selain itu, Shekhar berkata, program Sukuk Ijarah ini menunjukkan komitmen Kumpulan QI terhadap pertumbuhan dan perkembangan khususnya dalam pembangunan sektor pendidikan tertiarinya,” jelasnya.
“Melalui QI Capital, Kumpulan QI yang diasaskan oleh usahawan Malaysia Datuk Seri Vijay Eswaran dapat mempelbagaikan pelaburan merentasi syarikat portfolio di Malaysia, Sri Lanka, India, Hong Kong, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Portfolio ini merangkumi sektor perkhidmatan kewangan dan pendidikan, telekomunikasi, pembuatan jam Swiss, peruncitan makanan semula jadi, pengurusan hospitaliti, dan pasaran atas talian,” katanya.
Antara kepimpinan kanan BPMB yang turut menerima anugerah termasuk Pengarah Urusan, Perbankan Korporat dan Pelaburan Kumpulan, Mohamed Nazri Omar, Ketua Kumpulan, Undang-undang, Aidil Haznul Zulkifli, Ketua Kumpulan Liputan, Gerald Goh Yong Hwa serta Ketua Kumpulan Perbankan Korporat dan Penasihat, Wee Yee Tat.-UTUSAN











