PETALING JAYA: Gerakan mendakwa kebebasan media dan bersuara semakin merosot sejak kerajaan perpaduan mentadbir negara.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai Beliau mendakwa, selain menyekat laman berita yang mengkritik kerajaan, kerajaan kini dilihat mengambil tindakan drastik menggantung kelayakan Ahli Parlimen Machang Bersatu, Wan Fayhsal, selama enam bulan.
“Pada awalnya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk “menyelamatkan rakyat dan negara”, namun sekarang mereka telah menunjukkan wajah sebenar mereka dan telah menjadi “musuh demokrasi” yang merosakkan sistem demokratik negara.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menuduh Wan Fayhsal memetik kandungan surat tanpa nama mengenai pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang mungkin boleh memberi kesan negatif kepada individu yang terlibat, adalah kenyataan yang tidak masuk akal,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Wan Fayhsal sudah menyatakan bahawa ini adalah surat tanpa nama, jika kerajaan berpendapat kandungannya palsu, mereka boleh menjelaskan mengenai perkara itu.
“Menuduh Wan Fayhsal menghasut rakyat untuk tidak berpuas hati terhadap kerajaan adalah tuduhan yang tidak berasas,” kata beliau.
Kata Dominic, beliau sangat bersetuju dengan pandangan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bahawa ini adalah penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan untuk menindas pembangkang.
“Gambaran Khairy sangat tepat, ahli parlimen kerajaan adalah ‘pengecut’ yang sebenar.
“Tidak berani memulangkan kuasa kepada rakyat, menggantung enam kerusi bekas ahli parlimen PN adalah tindakan pengecut,” katanya.- UTUSAN











