KUALA LUMPUR: Tindakan yang terbaik diambil terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal adalah dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bukannya terus menggantung pemimpin itu selama enam bulan.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, merujuk Wan Ahmad Fayhsal ke dalam jawatankuasa itu bagi membolehkannya membela diri kerana tindakan drastik menggantungnya daripada mesyuarat Dewan Rakyat hanya meletakkannya dalam situasi tidak adil.
Sehubungan itu, kata Khairy, beliau turut bersetuju dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan tindakan tersebut zalim kerana bertentangan dengan Artikel 62 dan mempertikai haknya sebagai ahli Parlimen yang dipilih rakyat.
“Saya sependapat dengan ahli Parlimen Pasir Gudang. Bukannya tidak pernah berlaku ahli dalam dewan digantung tetapi bagi tujuan keadaan tertentu contohnya degil atau menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Dalam kes ini perbahasan sudah berlangsung. Biasanya ahli Parlimen dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Beliau diberi hak untuk mempertahan diri dalam kes ini memang ada masalah penafian untuk ruang keadilan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar program Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 di Menara Aras Raya di sini hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat menggantung Wan Ahmad Fayhsal daripada menghadiri persidangan selama enam bulan susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, dengan 110 ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju.
Ini selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Usul undi belah bahagian itu dibuat Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Usul penggantungan tersebut dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pembangkang kemudian membaca doa Qunut Nazilah di dalam Dewan rakyat diketuai Zulkifli Ismail (PN-Jasin) sebagai tanda golongan yang teraniaya meminta pertolongan daripada Allah dalam menghadapi kesulitan yang dihadapi.
Azalina menjelaskan, permohonan usul itu sememangnya dibenarkan dan jika hujah tersebut menggunakan dokumen yang sahih, kerajaan tiada masalah dengan perkara tersebut.
Seramai dua ahli Parlimen membahaskan usul berkenaan iaitu Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Perikatan Nasional) dan Azli Yusof (PH-Shah Alam), sambil dicelah beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Ketika usul tersebut dibahas, Hamzah berkata, meskipun ia surat layang, namun, beliau mempersoal mengapa perkara itu tidak disiasat oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menggantung Wan Ahmad Fayhsal.











