Kastam Pulau Pinang rampas 21,648 tin minuman keras

Kastam Pulau Pinang rampas 21,648 tin minuman keras

ROSELAN (tiga dari kanan) ketika sidang media mengenai rampasan minuman keras tersebut di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas 21,648 tin minuman keras menerusi satu serbuan di sebuah premis di Jelutong Timur pada 4 Julai lalu.

Pengarahnya, Roselan Ramli berkata, dalam operasi kira-kira pukul 6.30 petang itu, pihaknya menemukan 9,198.96 liter minuman keras jenis bir tidak bercukai kastam melibatkan nilai anggaran RM45,994.80 dengan cukai berjumlah RM205,772.40.

“Hasil risikan mendapati, premis yang dalam keadaan rosak dan terbiar tanpa penghuni itu telah disewa untuk dijadikan stor simpanan mereka. Pemeriksaan lanjut turut mendapati, pemilik premis berkenaan sudah meninggal dunia baru-baru ini dan kita sedang mengesan warisnya bagi membantu siasatan sekali gus mengenal pasti suspek yang terlibat.

“Sebahagian daripada minuman keras ini bertanda MDNP untuk pasaran di zon bebas manakala sebahagian lagi dipercayai diimport secara tidak sah kerana tiada setem cukai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Roselan, sindiket tersebut dipercayai menjadikan rumah terbiar di kawasan perkampungan terpencil berhampiran pesisir pantai itu untuk menyimpan minuman keras tidak bercukai bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bermula 1 Januari sehingga 30 Jun lalu, pihaknya telah berjaya membanteras 54 kes berkaitan minuman keras melibatkan nilai anggaran RM1,549.377.456 dengan cukai berjumlah RM6,070,032.56.

“Selain itu, kita turut berjaya membanteras 80 kes rampasan rokok melibatkan nilai RM2,713,907.87 dengan jumlah cukai sebanyak RM9,220.480.13,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×