KUALA LUMPUR: Status Pencapaian Program Teras 6A diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2021 sehingga Jun lalu berada pada tahap yang baik iaitu melebihi 60 peratus.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, menerusi Pelan Strategik Polis Diraja Malaysia (PSPDRM) 2021-2025 telah dibangunkan, ia mempunyai enam Teras Strategik dengan 23 petunjuk prestasi utama (KPI) terpilih, 32 strategi, 135 program dan 362 aktiviti yang dipertanggungjawabkan kepada jabatan-jabatan berkaitan.
Katanya, Jabatan Pengurusan PDRM diletakkan di bawah Teras Strategik 6A iaitu mentransformasi tadbir urus organisasi ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti.
“Sasaran itu diletakkan dengan dua bidang fokus iaitu Bidang Fokus A adalah ‘Transformasi Dasar Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia’, manakala Bidang Fokus B untuk Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan PDRM.
“Saya berharap pada tahun 2025 kelak, pencapaian ini boleh mencapai tahap cemerlang.
“Apa yang jelas, pencapaian ini sekali gus meningkatkan imej pasukan, kepuasan pelanggan serta keyakinan masyarakat terhadap PDRM,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara Bulan Julai anjuran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Razarudin berkata, PDRM menerusi Jabatan Pengurusan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan warga pasukan serta memantapkan sistem dan prosedur kerja bagi memastikan kelangsungan tadbir urus yang cemerlang.
Tegas beliau, menjadi keutamaan bagi PDRM mempunyai modal insan yang profesional, mempunyai kebolehan dan keupayaan diri dalam menyampaikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.
Bagi merealisasikannya, katanya, Jabatan Pengurusan menerusi Bahagian Latihan dalam proses untuk mengorak langkah melahirkan sumber manusia yang kompeten melalui program latihan kepolisan yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Jelas beliau, menuju ke arah pengiktirafan tersebut, kajian semula ke atas Modul Silibus Program Latihan Asas Kepolisan turut dilaksanakan untuk tujuan penambahbaikan.
“Selain itu, Bahagian Latihan turut bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menerusi program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi aspirasi melahirkan warga Malaysia Madani yang berilmu dan berkemahiran,” ujarnya.- UTUSAN











