KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendedahkan kira-kira 24.8 peratus daripada 13,490 penuntutnya mempunyai syarikat semasa mengikuti pengajian.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Razli Che Razak berkata, pencapaian tersebut membolehkan UMK muncul sebagai universiti berteraskan keusahawanan terbaik di negara ini.
“Kita juga berjaya melahirkan sebanyak 15.4 peratus graduan usahawan dan tahun lepas merupakan pencapaian kita paling tinggi. UMK juga telah melepasi syarat-syarat minimum untuk menghasilkan syarikat-syarikat pelajar.
“Buat masa ini kita berada pada kedudukan pertama antara universiti awam dalam melahirkan syarikat-syarikat pelajar dan graduan usahawan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk Clasiti keluaran SNH Cosmetic Lab Sdn. Bhd. di UMK Kampus Kota di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Razli memberitahu, UMK akan terus memberikan pendedahkan kepada pelajarnya dengan aspek keusahawanan sejak peringkat awal sehinggalah ke penghasilan produk dan tawaran perkhidmatan sepanjang empat tahun mereka mengikuti pengajian.
Katanya, ia dilaksanakan dengan harapan setiap pelajar akan membawa syarikat masing-masing sehingga selepas bergelar graduan bersama inspirasi menjadi usahawan.
“Di sini kita bantu mereka (pelajar) termasuk dalam penyediaan modal awal dan di bawah Institut Pembangunan Keusahawanan UMK, kita beri fokus membantu pelajar dan alumni,” ujarnya.
Razli memberitahu, pelajar juga diwajibkan mendaftar syarikat mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Universiti (SSU) dan pada masa sama diminta mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Malah UMK sendiri terlibat dalam peringkat promosi SSM yang mana kita mendaftarkan syarikat-syarikat pelajar secara percuma. Malah kita juga terlibat dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIpo) serta turut membantu pelajar mendaftarkan produk-produk mereka,” katanya-UTUSAN











