SUNGAI PETANI: Seorang remaja perempuan dipercayai hilang sejak Jumaat lalu dari kediaman keluarganya di Taman Lembah Bujang, Bedong, di sini.
Nur Dini Hayati Abdul Rahman, 18, disedari tiada di rumah pada pukul 6.20 petang semasa ibunya sedang mengemas di dapur dan bapanya berada di dalam bilik air.
Bapanya, Abdul Rahman Jaafar, 50, berkata, Nur Dini baru pulang menghantar makanan dipesan pelanggan bersama ibunya, Liyana Abdullah, 47, di Taman Ria, di sini.

“Dia tidak membawa apa-apa pakaian tambahan ketika keluar semula menaiki motosikal jenis Honda Wave dan ketika berada di rumah bersama ibunya mereka berbual seperti biasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.
Abdul Rahman yang merupakan bekas anggota tentera berkata, dia sekeluarga amat bimbangkan keselamatan anak kedua daripada lima beradik itu kerana Nur Dini sering diserang sawan.
“Dia perlu makan ubat mengikut jadual setiap hari, kini selepas hampir seminggu dia hilang kami risau keadaan kesihatannya. Pelbagai cara digunakan untuk mencarinya termasuk membuat laporan polis namun sehingga kini dia gagal dikesan,” katanya.
Kata Abdul Rahman, mereka tidak pasti punca mengapa anaknya itu hilang kerana hubungan mereka sekeluarga amat rapat.
“Dia anak yang baik, sering bantu ibunya jual nasi lemak di hadapan rumah selain ditugaskan menghantar pesanan pelanggan di sekitar daerah ini sejak tamat tingkatan lima tahun lalu. Pulanglah Nur Dini, kami bimbangkan keselamatan dan kesihatan adik,” katanya.
Semetara itu, Abdul Rahman berkata, sejak kehilangan Nur Dini, kesihatan isterinya mula terganggu apabila tidak boleh tidur serta tidak selera makan kerana teringatkan anaknya.
Mereka yang mempunyai maklumat atau ternampak Nur Dini diharap dapat menghubungi Abdul Rahman di talian 017-5164487 atau memaklumkan kepada polis. – UTUSAN











