KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan RM20, pelanggan kedai dandanan rambut di Kompleks Kota Raya di sini boleh menerima layanan ‘istimewa’ gadis Filipina yang bekerja di beberapa premis berkenaan.
Bermula dengan gesel dan urutan manja, bayaran tersebut yang didatangkan secara pakej bersama dandanan rambut semestinya dikira murah dan ‘berbaloi’ bagi lelaki ‘berhidung belang’.
Jika pandai ‘mengayat,’ pelanggan boleh diajak ke bilik sewa wanita Filipina itu atau popular dipanggil Pinoy.
Itu taktik kebanyakan pekerja wanita Pinoy di kompleks berkenaan bagi menarik pelanggan yang gemar berfoya-foya.
Intipan Utusan Malaysia mendapati, pekerja akan cuba ‘memancing’ pelanggan dengan ayat-ayat manis bagi mendapatkan khidmat dandanan rambut sebelum ke peringkat seterusnya.
Terdapat kira-kira sepuluh salun rambut di kompleks berkenaan yang rata-rata pekerjanya terdiri daripada wanita Filipina. Kebanyakan berusia dari awal 20 hingga 40-an.
Pengalaman wartawan yang mendapatkan nombor telefon seorang pekerja salun tersebut turut ditawarkan perkhidmatan seks di bilik sewa wanita itu.
Apa yang menimbulkan persoalan, bagaimana begitu ramai pekerja warga Filipina boleh `berkumpul’ di kompleks tersebut.
Kompleks tersebut didakwa sangat berubah berbanding tahun 1990-an apabila ia kini seperti `mini Manila’.
Semua keperluan warga asing itu tersedia dari makanan, kosmetik hingga kepada pakaian. Hujung minggu makin meriah warga Pinoy kebanyakan dalam kalangan wanita.
Ramai juga yang was-was adakah semua pekerja Filipina di kompleks tersebut membabitkan mereka yang ada dokumen perjalanan.
Tinjauan juga mendapati beberapa kedai di kompleks berkenaan ada juga dipercayai milik warganegara tersebut berdasarkan papan tandanya.
Dalam pada itu, seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Bob yang mengaku pernah mengunjungi salun rambut di Kota Raya mendedahkan, di sebalik deretan kedai dandanan rambut itu, sesetengah pekerjanya menawarkan khidmat seks.
Cerita Bob, khidmat seks ihanya mula dijalankan apabila kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu menyebabkan premis salun rambut di situ hilang pelanggan.
“Untuk meneruskan hidup, pekerja dandanan Filipina terpaksa mencari kerja ‘alternatif’ untuk menampung kehidupan,” katanya.
Menurut Bob, pekerja dandanan itu akan menggoda ketika pelanggan pada mulanya hanya mahu menggunting dan mencuci rambut tetapi jika tidak kuat iman akan terjebak dengan jerat Pinoy berkenaan.
“Kali pertama saya sudah rasa ‘bahangnya’ apabila pekerja Pinoy itu terlalu berani,” katanya.
Tambah Bob lagi, sekiranya pelanggan bijak berbicara dan mendapat kepercayaan pekerja terbabit, mereka akan diberi nombor telefon sebelum dibawa ke kamar.
“Kita tidak boleh gelojoh, perlu mengambil langkah satu persatu sehingga mendapat kepercayaan mereka untuk menerima servis yang ditawarkan pada harga ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN











