SPRM tahan 8 termasuk dua warga asing rasuah penguat kuasa

SPRM tahan lapan termasuk dua warga asing rasuah penguat kuasa

Sebahagian daripada lapan individu ditahan SPRM kerana disyaki menyogok penguat kuasa sebagai balasan bagi melindungi aktiviti perniagaan warga asing yang menggunakan lesen ali baba di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Sanggup bayar rasuah antara RM200 hingga RM1,000 kepada penguat kuasa asalkan tindakan ke atas premis yang menggunakan lesen ali baba tidak diambil.

Itu nilai sogokan yang dibayar lapan individu kepada penguat kuasa sebagai ‘pelincir’ bagi melindungi aktiviti perniagaan haram warga asing di ibu negara. 

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas kesemua mereka terdiri daripada lima warga tempatan, dua warga asing dan seorang pemastautin tetap (PR) ditahan dalam operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara hari ini.

Operasi khas Op Star dijalankan SPRM yang turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memeriksa premis perniagaan terdiri daripada kedai runcit, kedai pakaian, kedai aksesori telefon, kedai makan dan kedai gunting rambut.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, lapan individu ditahan SPRM kerana disyaki menyogok penguat kuasa sebagai balasan bagi melindungi aktiviti perniagaan warga asing ini.

Kata sumber itu, premis perniagaan yang dijalankan warga asing ini bukan sahaja beroperasi menggunakan lesen ali baba, iaitu lesen milik warga tempatan malah menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Selain itu, ada premis ini dikesan menyalahgunakan lesen dengan menjalankan aktiviti perniagaan berbeza dengan aktiviti lesen yang diberi,” katanya.

Mengulas lanjut,sumber berkata, wang rasuah berkenaan juga sebagai balasan bagi membocorkan sebarang maklumat operasi penguatkuasaan kepada mereka.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

“Kesemua suspek terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok bagi proses pertuduhan,” jelasnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan SPRM mendapati penglibatan pihak berkuasa dalam melindungi kegiatan haram di bandar-bandar besar terutama penjaja yang dikuasai warga asing.

Kegiatan ini dikesan SPRM selepas premis-premis perniagaan yang dijalankan warga asing kian bertambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Bukan itu sahaja, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa, namun seakan-akan tidak memberi kesan.

Penguat kuasa seolah-olah dilihat ‘bermain wayang’ dan tidak bersungguh dalam tindakan. 

Adakalanya bertindak mengikut musim dan berdiam diri sahaja di beberapa kawasan tertentu.

Ia turut membabitkan perniagaan berskala kecil seperti penjaja dan kedai-kedai yang kini dimonopoli warga asing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, ada pemilik lesen warga tempatan yang menyewakan tapak dan lesen perniagaan mereka kepada warga asing. 

Bukan itu sahaja, penguat kuasa ditawarkan suapan rasuah secara bulanan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas premis yang menggunakan lesen ali baba.

SPRM juga mengesan terdapat tangan-tangan ghaib yang melindungi dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×