Rakyat Gaza melecur teruk akibat 'senjata haba' Israel

Rakyat Gaza melecur teruk akibat ‘senjata haba’ Israel

SEORANG lelaki Palestin yang cedera dalam pengeboman Israel dibawa ke bilik kecemasan Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah, tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kesan luka melecur teruk yang jelas kelihatan menimpa 320 rakyat Palestin yang maut dan cedera dalam serangan terbaharu Israel di Gaza, dipercayai berpunca daripada penggunaan senjata terlarang di peringkat antarabangsa.

Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, kesan melecur tahap tiga terhadap mangsa serangan, dipercayai berpunca daripada peluru berpandu dan bom yang dikenali sebagai senjata haba atau senjata kimia.

“Ini adalah senjata yang tidak konvensional serta dilarang di peringkat antarabangsa, diharamkan untuk digunakan terhadap manusia dan kebanyakannya buatan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam kenyataan.

Pejabat itu berkata, senjata tersebut menyebabkan tindak balas kimia pada kulit, mengakibatkan hakisan tisu-tisu dalam badan serta kesakitan teruk dan kerosakan fizikal sehingga berisiko membawa maut.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh pasukan Israel terhadap orang awam, kanak-kanak dan wanita,” kata kenyataan itu.

Pejabat kerajaan juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengutuk jenayah terhadap orang awam dan meneruskan usaha untuk mendakwa Israel di mahkamah antarabangsa.

“Kami menggesa pentadbiran AS bertanggungjawab sepenuhnya dari segi undang-undang dan moral kerana membekalkan pelbagai jenis senjata yang dilarang di peringkat antarabangan kepada Israel,” katanya.

Sejak permulaan perang dahsyat di Gaza pada 7 Oktober, Washington menyediakan sokongan merentasi peringkat ketenteraan, perisikan dan diplomatik kepada Tel Aviv.

AS juga dalam perancangan untuk membekalkan Israel dengan senjata bernilai berbilion dolar dalam beberapa bulan akan datang.

Menurut Wall Street Journal, pentadbiran Presiden Joe Biden menyediakan penjualan senjata baharu bernilai AS$1.3 bilion (RM6.07 bilion) kepada Israel.

Akhbar itu berkata, perjanjian tersebut merupakan pakej sokongan ketenteraan terbesar yang disediakan AS kepada Israel sejak perang tercetus.

Katanya, perjanjian baharu itu berasingan daripada pakej sokongan AS$26 bilion (RM121 bilion) untuk Israel yang sedang dipertimbangkan oleh Kongres.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×