RISDA kena teroka program baharu bantu pekebun getah

RISDA kena teroka program baharu bantu pekebun getah

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi menyampaikan anugerah pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat 2023, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) disaran meneroka program baharu bagi meningkatkan pendapatan golongan pekebun kecil dan tidak lagi hanya bergantung kepada komoditi itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, langkah baharu tersebut  perlu diteroka RISDA bagi membawa pembaharuan kepada pekebun getah dan menambah pendapatan.

“Harga getah turun naik serta mengikut permintaan pasaran antarabangsa, kita menghadapi persaingan dengan getah tiruan atau getah sintetik. 

“Ini cabaran paling getir yang sedang dihadapi kerajaan sehingga harga lantai getah terpaksa  dinaikkan tetapi masih juga belum menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA 2023 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Turut hadir Pengerusi RISDA Manndzri Nasib dan Ketua Setiausaha KKDW yang baharu Datuk Mohd Khair Razman Mohamed. 

Dalam majlis itu, 640 pelajar yang mengikuti tuisyen di bawah KKDW mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, diraikan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kementerian memberikan tempoh satu tahun kepada pengurusan tertinggi RISDA untuk melihat keberhasilan kepada golongan pekebun kecil getah dengan perubahan-perubahan drastik dan bukan hanya  dari segi keuntungan.

“Kepimpinan baharu RISDA perlu  berubah atau mengubah keadaan supaya pekebun kecil mendapat manfaat secara langsung daripada perubahan itu. 

“Namun, teknologi harus diperkenalkan, bukan hanya dalam soal penorehan, tetapi juga soal pemprosesan dan produk-produk termasuk lateks yang mungkin kita tidak perlu import lagi jika kita melakukan satu ‘game changer’,” kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Susulan itu,  Ahmad Zahid mengarahkan Mohd Khair Razman mengadakan perbincangan dengan barisan kepimpinan RISDA mengenai hala tuju perubahan baharu yang akan direncanakan terhadap agensi berkenaan.

“Kita mesti bekerjasama dengan kementerian lain antaranya Kementerian Perladangan dan Komoditi, dari segi pengeluaran produk secara hiliran yang kebergantungan kita banyak kepada penjualan bahan yang belum diproses.

“Getah umpamanya yang belum diproses kita terpaksa mengimport lebih RM6 bilion dari negara jiran sedangkan kita ialah pengeluar getah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×