Loceng tembaga hempap kepala, June Lojong cedera ringan

Loceng tembaga hempap kepala, June Lojong bersyukur hanya cedera ringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, June Lojong, bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius selepas sebuah loceng tembaga jatuh di atas kepalanya ketika menjayakan sebuah babak dalam filem Lubuk.

Mengimbau semula insiden mencemaskan itu, June memaklumkan dia bernasib baik kerana hentakkan loceng yang dianggarkan seberat 11 kilogram (kg) itu tidak meninggalkan kesan untuk jangka masa panjang.

“Kejadian itu berlaku ketika saya melakonkan babak membunyikan loceng untuk mengarahkan semua penghuni masuk ke dalam rumah tumpangan.

“Mungkin kerana kuatnya lonceng itu saya bunyikan, ia tiba-tiba jatuh menghentak kepala saya, mengakibatkan bengkak di bahagian itu. Sampai sekarang kesan cedera itu masih kelihatan.

“Memang sakit, sebab loceng itu berat. Tapi kesakitan itu tidak berlanjutan. Selepas itu saya masih boleh berlakon seperti biasa.

“Saya risau sebenarnya, sebab selepas kejadian itu berlaku, saya tidak buat pemeriksaan di hospital. Sekadar pergi ke klinik,” katanya selepas sesi tayangan awal filem berkenaan baru-baru ini.

June dalam filem psiko thriller itu melakonkan watak Titi, salah seorang penjaga rumah tumpangan yang garang dan misteri.

Katanya, meskipun ada yang berpandangan karakter itu sebagai ‘makanannya’, June tidak menafikan watak yang dilakonkan dalam filem itu tetap mencabar.

“Tak mudah lakonkan karakter ini. Sebab itu kami kena buat rehearsals sebelum mulakan penggambaran.

“Persediaan awal yang dilakukan memudahkan saya hidupkan watak Titi ini. Cuma pada babak-babak akhir, agak mencabar.

“Watak ini berkembang, ada peralihan. Daripada seorang yang misteri dan garang, kepada karakter lain. Ia ada sedikit persamaan dengan watak yang saya lakonkan dalam filem Roh,” kongsinya.

Filem Lubuk, yang diarahkan Mark Lee See Teck, turut dibintangi Tony Eusoff, Megat Shahrizal, Amirah Razak, Chew Kim Wah, Alvin Wong dan ramai lagi.

Filem tersebut bakal menjengah pawagam bermula 18 Julai ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×