Chin Tong ‘disambut’ lori sampah haram

Chin Tong ‘disambut’ lori sampah haram

LIEW Chin Tong (kanan) memeriksa sebuah lori di tapak pembuangan sampah haram di Kampung Orang Asli Sungai Temon, Perling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong ke Kampung Orang Asli Sungai Temon dekat sini membongkar kegiatan pembuangan sampah haram di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ternampak sebuah lori disyaki mahu membuang sampah industri dan sisa pembinaan secara haram di sana.

Apabila bertanya kepada pemandu lori tentang muatan yang dibawa, lelaki itu tergagap-gagap menjawab tujuannya ke kampung itu hanya mengikut lokasi diberikan oleh majikannya sebelum beredar dari situ.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya datang kembali bersama unit-unit penguat kuasa (SWCorp, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian, penghulu) ke kampung itu untuk melakukan pemeriksaan mengejut kelmarin dan kali ini pihak penguat kuasa berjaya menahan dua orang pelaku yang sedang membuang sampah haram.

“Kedua-duanya mengaku telah banyak kali datang ke kampung itu untuk membuang sampah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Chin Tong berkata, pelaku juga mengaku pernah membawa lori lebih besar dengan muatan lebih banyak untuk dibuang di kawasan berkenaan.

Lebih mengejutkan, penduduk tempatan mendakwa pembuangan sampah haram di kawasan tersebut telah berterusan berbulan-bulan lamanya sehingga mengeluarkan bau busuk.

“Ini menjadi ancaman kesihatan yang membimbangkan. Sampah haram tersebut bertimbun, tidak sampai 30 meter dari rumah penduduk.

“Ada sisa binaan, tanah merah dan plastik. Terdapat juga sisa disyaki bahan kimia yang menyebabkan saliran air tersekat, air tercemar menjadi warna hitam dan keadaan ini menjejaskan pernafasan penduduk,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap hukuman berat wajib dikenakan terhadap golongan tidak bertanggungjawab itu.

“Ini bukan kali pertama berlaku pembuangan sampah secara haram, dan pasukan ADUN Perling telah pun membuat laporan kepada pihak berkuasa. Banyak kampung di sekitar Johor Bahru menghadapi masalah pembuangan sampah secara haram ini.

“Saya menyeru orang ramai untuk melaporkan kes-kes pembuangan sampah secara haram seperti ini dengan menyediakan gambar dan alamat atau lokasi peta tapak tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini