BEIJING: China sekali lagi menjadi tuan rumah kepada pertemuan pegawai kanan Hamas dan Fatah menerusi satu mesyuarat minggu depan, dalam usaha menyelesaikan perselisihan antara dua kumpulan Palestin itu.
Israel sekian lama berusaha untuk memupuk perpecahan di antara dua gerakan politik utama Palestin berkenaan.
Fatah, membentuk teras Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang menyediakan keselamatan untuk Israel di Tebing Barat sejak menandatangani Perjanjian Oslo dengan Israel pada 1993.
Manakala, Hamas yang berorientasikan Islam memerintah Gaza sejak 2007 dalam keadaan dikepung dan sekatan oleh Israel.
Perdamaian antara kedua-dua pihak ini dilihat penting untuk masa depan Gaza selepas perang.
China berusaha untuk menjadi pengantara antara kedua-dua kumpulan itu semasa rundingan pusingan pertama di Beijing pada April lalu.
Pegawai kanan Hamas, Mousa Abu Marzouk memberitahu The New York Times, Ismail Haniyeh akan mengetuai delegasi kumpulan itu ke Beijing.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Fatah, Azzam al-Ahmad berkata, kumpulannya akan menghantar tiga pegawai, termasuk Timbalan Pengerusi Fatah, Mahmoud al-Aloul untuk mesyuarat berkenaan.
Menteri Luar China, Wang Yi akan menjadi hos mesyuarat Hamas dan Fatah pada 21 Julai dan 23 Julai.
Kedua-dua parti itu juga akan mengadakan mesyuarat tambahan tanpa penyertaan China.
Sebelum ini, pegawai Rumah Putih berhasrat untuk membantu PA yang dikuasai Fatah untuk mengawal Gaza bagi pihak Israel berikutan keadaan konflik semasa di wilayah itu.
Tetapi, usaha Israel untuk menewaskan sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam tidak berjaya, bermakna Hamas akan bersuara dalam mana-mana entiti pasca perang yang mentadbir Gaza.
Sebelum ini, pegawai Hamas menyuarakan kesediaan untuk melepaskan kawalan awam di Gaza untuk membenarkan pembinaan semula wilayah, tetapi menolak membubarkan sayap tentera kumpulan itu.











