George Town Festival 2024: Video klip promosi diturunkan, penganjur kesal

George Town Festival 2024: Video klip promosi diturunkan, penganjur kesal

VIDEO klip promosi George Town Festival 2024 yang bertemakan 'Here and Now' kini diturunkan daripada semua platform media sosial bagi mengelak berlakunya salah faham berterusan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pasukan George Town Festival 2024 telah menurunkan semua siaran  berkaitan video klip promosi sambutan festival tersebut susulan terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa video klip itu hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India sahaja di Pulau Pinang.

Jurucakap pasukan itu berkata, video berkenaan telah diturunkan di semua halaman media sosial, laman sesawang serta saluran YouTube George Town Festival bagi mengurangkan salah faham yang timbul berkaitan video itu.

“Pasukan George Town Festival 2024 berasa kesal sekiranya video ‘teaser’ promosi itu secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan sesetengah individu dan kumpulan.

“Justeru, demi mengurangkan salah faham, kami telah menurunkan semua siaran yang berkaitan dengan video tersebut di halaman media sosial, laman sesawang serta saluran YouTube George Town Festival,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, video klip promosi festival tersebut yang bertemakan ‘Here and Now’ itu tersebar luas dalam media sosial menjelang acara sambutannya yang dijangka pada 19 Julai ini.

Video berkenaan didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India sahaja selain menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan beberapa pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta beberapa individu lain khususnya pemimpin Melayu di peringkat negeri.

Antara yang bersuara berhubung isu tersebut setakat ini ialah Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gabungan), Badan Perhubungan Pas negeri serta beberapa pihak lain.

Dalam pada itu, jurucakap yang sama memaklumkan, kesemua perancangan dan promosi George Town Festival 2024 telah mencuba sedaya upaya untuk memastikan perwakilan yang inklusif, komprehensif dan seimbang, termasuk dari segi kategori program, kumpulan jantina, umur dan perwakilan etnik dalam semua program George Town Festival.

“Malah kami telah menjemput wakil berbilang bangsa untuk terlibat sama dalam video ‘teaser’ tersebut. Untuk pengetahuan, kebudayaan Melayu memang kaya dengan elemen kesenian dan kebudayaan yang telah ditonjolkan dalam George Town Festival setiap tahun.

Sementara itu, penganjur festival, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memelihara serta mengangkat nilai keharmonian dan kewujudan bersama antara semua warisan kebudayaan di negeri Pulau Pinang.

“Dalam hal ini, GTWHI memandang berat dan cakna akan kekecewaan yang diluahkan oleh warga komuniti tempatan.

“Justeru, pihak kami telah menasihatkan agar ‘kontraktor’ festival iaitu Kerson Media Global Sdn Bhd untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan meningkatkan promosi program tempatan dalam masa terdekat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×