Golongan artis atau pempengaruh pun manusia juga – Yazmin Aziz

Golongan artis atau pempengaruh pun manusia juga – Yazmin Aziz

YASMIN AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pempengaruh, Yazmin Aziz, 23, mengakui, pengalaman dibuli secara fizikal dan di media sosial bukan satu perkara yang mudah untuk dilupakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yazmin berkata, amat mustahil untuk diri­nya menutup mulut semua orang daripada terus bercakap atau melemparkan kata-kata negatif namun tidak menolak mangsa buli siber perlu mempunyai sistem so­kongan yang kuat.

“Saya ini bernasib baik sebab ada sistem sokongan yang kuat, termasuk keluarga dan rakan-rakan yang terdekat. Semakin saya dibuli, semakin saya terdorong untuk melakukan yang lebih baik.

“Mudah untuk netizen mengkritik. Mereka hanya menaip pendapat mereka berdasarkan apa yang mereka lihat. Ada yang hanya berdasarkan kapsyen tanpa mengetahui cerita atau konteks penuh. Sedih sebenar­nya.

“Ada kalanya saya berta­nya pada diri sendiri adakah apa yang saya lakukan demi kerjaya saya masih berbaloi? Adakah sesete­ngah rakyat Malaysia benar-benar tidak boleh menerima suara saya dan saya tiada tempat di industri hiburan tempatan?” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Selain itu, kata penyanyi lagu Lihatlah ini lagi, dia tidak berdendam dengan mereka yang pernah membuli dirinya namun menaruh harapan agar setiap pengguna media sosial bersikap lebih tanggungjawab ketika melontarkan komen.

“Walaupun saya dikritik atau dibuli, saya reda dan terima pendapat netizen dan hanya boleh memperbaiki apa yang saya mampu. Le­bih-lebih lagi saya mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keluarga saya.

“Saya masih suka me­nyanyi dan membuat muzik. Saya juga masih menjadi tular atas sebab-sebab yang baik. Saya pilih untuk bersikap dan berfikiran positif. Semua ini adalah motivasi saya untuk hadapi segala cabaran.

“Cuma, saya harap ketika netizen memberikan sebarang pandangan atau komen, mereka lebih peka. Artis dan pempengaruh pun manusia juga. Kami mempunyai keluarga yang turut tersakiti dengan kata-kata netizen. Mungkin jika bukan kerana penyokong saya, saya pun telah lama berputus asa,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×