KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan membuktikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa pembatalan pengecualian cukai ke atas sebuah yayasan kebajikan dilakukan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri.
Pasukan peguam yang mewakili Guan Eng akan mengemukakan keterangan saksi-saksi dan bukti berdokumen bahawa pembatalan itu bukan dilakukan ketika pentadbiran 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) antara Mei 2018 dan Februari 2020.
Peguam Guok Ngek Seong berkata, tiada satu rantaian bukti yang menunjukkan bahawa anak guamnya (plaintif) merupakan pihak yang menyebabkan pengecualian cukai terhadap yayasan itu ditarik balik.
“Sebaliknya wujud surat yang menjelaskan bahawa pembatalan pengecualian cukai terhadap yayasan itu dibuat ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin (defendan) memegang jawatan Perdana Menteri.
“Pihak plaintif akan membuktikan bahawa pembelaan defendan penuh dengan penipuan, tidak berasas serta tidak disokong.
“Sebaliknya, defendan menggunakan Guan Eng sebagai `kambing hitam’ dan menyalahkan plaintif atas nama survival politik,” ujar beliau ketika membacakan kenyataan pembukaan kes saman itu.
Guan Eng dijadual memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain petang ini dalam kes saman terhadap bekas Perdana Menteri atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac 2023, Guan Eng berkata, Muhyiddin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.
Katanya, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama yang diikuti pada 11 dan 12 Mac 2023 di dalam Facebook miliknya dan kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan fitnah berkenaan antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.
Guan Eng menjelaskan, pada 21 Mac 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi kenyataan di Parlimen memaklumkan beliau (Guan Eng) tidak membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada yayasan tersebut. – UTUSAN









